X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Pelaksanaan PKSK buka peluang murid ke SBP

Pelaksanaan PKSK membuka peluang kepada semua murid yang layak daripada semua jenis sekolah di Malaysia untuk ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP). (Gambar kecil: Mah Hang Soon)
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) membuka peluang kepada semua murid yang layak daripada semua jenis sekolah di Malaysia untuk ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa memberi perhatian dan mendukung dasar pendidikan yang ditetapkan kerajaan termasuk memastikan kejayaan lima aspirasi sistem pendidikan iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

"KPM juga sentiasa melaksanakan tanggungjawab seperti dihasratkan dengan merangka dasar pengambilan lebih komprehensif tanpa sebarang pengabaian kepada mana-mana pihak mahupun golongan masyarakat di negara ini," katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk T Mohan yang ingin tahu justifikasi pelajar daripada sekolah kebangsaan (SK) sahaja dibenarkan untuk memohon ke SBP peringkat Tingkatan Satu dan mengapa pelajar cemerlang selain SK tidak dibenarkan.

Hang Soon menjelaskan, PKSK merupakan satu kaedah pentaksiran standard secara berpusat dan dilaksanakan kepada murid yang memohon kemasukan ke Sekolah Khusus dengan pentaksiran itu merangkumi tiga komponen utama iaitu kecerdasan insaniah, kecerdasan intelek dan artikulasi penulisan.

Beliau berkata, semua murid warganegara yang berdaftar dengan sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) KPM daripada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) atau sekolah swasta adalah layak memohon kemasukan ke SBP bermula 2020 bagi sesi persekolahan 2021.

"Syarat pemilihan murid ke SBP adalah melepasi syarat minimum PKSK dan aktif dalam aktiviti kokurikulum. Penawaran kemasukan ke SBP pula adalah tertakluk kepada dasar pemilihan SBP iaitu 60 peratus murid daripada keluarga B40," katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!