X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

MPKB-BRI sedia beri lesen pengusaha skuter elektrik

Tuan Zainal (tiga dari kiri) selepas melakukan gimik perasmian Rumah Sampah Masjid Sultan Ismail Petra pada Rabu
A
A

KOTA BHARU - Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) bersedia bekerjasama untuk memberi lesen kebenaran kepada pengusaha skuter elektrik mengusahakan perniagaan tersebut di negeri ini.

Yang Dipertua MPKB-BRI,Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf bagaimanapun berkata, kelulusan kebenaran tersebut perlulah berdasarkan kepada syarat yang telah ditetapkan membabitkan perniagaan berkenaan.

"Sekiranya kawasan tidak bersesuaian, kami akan mencadangkan kawasan lain sebagai contohnya di pekarangan stadium Sultan Muhammad IV. Apa yang pasti, lokasi aktiviti itu bukan di jalan raya.

“Jika hendak diluluskan di bawah undang-undang kecil (MPKB-BRI) pihak kami perlu memastikan tempat berkenaan tidak mengganggu pengguna jalan raya, namun apa yang berlaku sekarang mereka guna atas jalan, selain pergi tempat orang ramai," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Rumah Sampah Masjid Sultan Ismail Petra di Kampung Banggol pada Rabu.

Mengulas lanjut, Tuan Zainal berkata, pihaknya tidak pernah menghalang apa-apa aktiviti yang boleh membangunkan masyarakat namun pengusaha perlu mempunyai kesedaran yang tinggi supaya tiada masalah timbul di kemudian hari.

Ketika ditanya mengenai permohonan lesen perniagaan membabitkan aktiviti berkenaan, Tuan Zainal memberitahu, kini ada dua pengusaha yang dikenal pasti mengusahakan perniagaan tersebut.

Bagaimanapun katanya, tiada sebarang kelulusan diberikan kepada mereka sehingga kini kecuali mereka telah hadir dan membuat permohonan secara sah, selain mematuhi syarat yang ditetapkan.

“Setakat ini hanya satu permohanan yang kita terima namun kami masih belum meluluskan apa-apa lesen berkaitan skuter elektrik ini. Kalau mereka boleh ikut syarat yang dikenakan tiada masalah untuk mereka perolehi lesen perniagaan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai rumah sampah, Tuan Zainal berkata, ia perlu dijadikan contoh yang baik kepada masyarakat setempat untuk menjayakan projek yang sama seperti dilakukan jawatankuasa Masjid Sultan Ismail Petra.

"Kita harap ia akan jadi projek contoh di kawasan lain. Ia melibatkan kos RM15,000 yang merupakan hasil sumbangan daripada jawatankuasa Masjid Sultan Ismail Petra termasuk penduduk setempat selain tong sampah yang dikurniakan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

"Rumah sampah ini dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), pengcahayaan pada waktu malam dan turut dihiasi dengan landskap dilihat mampu menarik minat orang ramai untuk menjaga persekitaran rumah sampah berkenaan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!