Penjaga kanak-kanak autisme warga Singapura didakwa

Sharifah Mazlan dibawa ke Mahkamah Sesyen Ampang bagi menghadapi pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, dua minggu lalu.
Sharifah Mazlan dibawa ke Mahkamah Sesyen Ampang bagi menghadapi pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, dua minggu lalu.
A
A
A

AMPANG - Seorang penjaga kanak-kanak autisme warga Singapura yang tular di media sosial, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas dua pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dan tinggal lebih masa di negara ini.

Sharifah Mazlan, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Hakim Norhazani Hamzah.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada tiga anak termasuk dua daripadanya menghidap autisme, didakwa melakukan penganiayaan kepada seorang kanak-kanak di sebuah Pusat Intervensi Autisme, Bandar Baru Ampang, di sini jam 10 pagi, pada 1 Oktober lalu.

Dia boleh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suriantiazila Muhamad tidak menawarkan sebarang ikat jamin kerana tertuduh berstatus warga asing.

"Pendakwaan memohon agar mahkamah mengambil kira isu kepentingan awam selain kes ini mendapat liputan meluas media.

"Namun, jika mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberi jaminan, saya mencadang tertuduh diikat jamin pada kadar tinggi dengan syarat-syarat tambahan yang sesuai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tular video seorang kanak-kanak lelaki disyaki didera oleh pengasuh di sebuah pusat jagaan di Ampang.
Tular video seorang kanak-kanak lelaki disyaki didera oleh pengasuh di sebuah pusat jagaan di Ampang.

Bagaimanapun, peguam Samry Masri merayu agar mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin.

"Walaupun dia seorang warga Singapura, namun dia menetap di negara ini sejak berkahwin pada 27 November 1998 dan kini menetap di Ampang, maka dia tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.

"Dia mempunyai tiga anak berusia 21, 19 dan 17 tahun yang mana anak kedua dan ketiga, penghidap autisme," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Norhazani membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM13,000 dengan seorang penjamin.

Norhazani juga memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Dalam pada itu, di Mahkamah Majistret di hadapan Majistret Nur Maizan Rahim, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tinggal di negara ini melebihi tempoh sah selama sembilan bulan 18 hari dari tarikh tamat tempoh masuk Malaysia pada 21 November 2020.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, pada jam 12 tengahari, 8 Oktober lalu dan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 Pindaan 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama.

Ia membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga dikenakan sebatan tidak lebih enam kali, jika sabit kesalahan.

Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran.

Nur Maizan kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin.

Mahkamah turut melarang tertuduh mengganggu mangsa serta keluarga mangsa.

Kedua-dua mahkamah menetapkan tarikh sama sebagai sebutan semula kes pada 9 November depan.