120,000 kenderaan dijangka masuk Kedah hujung minggu ini

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Kamarul Zaman.- Foto IPK Kedah)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Kamarul Zaman.- Foto IPK Kedah)
A
A
A

ALOR SETAR - Jumlah kenderaan masuk ke Kedah dijangka meningkat antara 100,000 hingga 120,000 menjelang hujung minggu ini selepas sempadan negeri dibuka pada Isnin lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, jangkaan itu berdasarkan jumlah 80,000 kenderaan yang direkodkan masuk ke Kedah pada hari pertama kebenaran rentas negeri diumumkan.

Beliau memberitahu, pihaknya tidak menghalang pergerakan orang awam masuk ke negeri ini sebaliknya perlu menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Melalui semakan yang dibuat oleh jabatan trafik pada 10 Oktober lalu, sebanyak 60,000 kenderaan masuk ke Kedah manakala pada hari pertama kebenaran rentas negeri meningkat kepada 80,000 kenderaan.

"Tiada masalah untuk masuk ke Kedah tetapi perlu mematuhi SOP ketika bertemu keluarga dan pastikan lengkap dua dos vaksin," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini pada Rabu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak merentas negeri jika dos kedua vaksin belum matang atau belum cukup dos.

"Sekiranya tidak sihat atau bergejala duduk sahaja di rumah. Jangan kita cuba melibatkan atau sebar penyakit kepada orang lain," katanya.

Kamarul Zaman berkata, polis Kedah telah menggerakkan 73 pasukan pemantau bagi memantau secara menyeluruh lokasi tumpuan ramai termasuk kawasan rehat dan rawat, kawasan rekreasi, pusat beli belah dan pasar awam.

Artikel Berkaitan:

"Semalam (Selasa) juga kita menjalankan pemeriksaan di kawasan Rehat dan Rawat Gurun, Alhamdulillah orang ramai patuh SOP, cukup dua dos vaksin dan lain- lain syarat yang ditetapkan.

"Insya-ALLAH kes jangkitan Covid-19 di Kedah semakin menurun. Kita mohon kerjasama semua pihak untuk terus jaga keselamatan diri," katanya.