'Kereta Norhizam' dirampas

Kereta rasmi kerajaan negeri yang dirampas pada Selasa di sebuah kondominum di Melaka. Gambar kecil: Norhizam
Kereta rasmi kerajaan negeri yang dirampas pada Selasa di sebuah kondominum di Melaka. Gambar kecil: Norhizam
A
A
A

MELAKA - Polis merampas sebuah kereta rasmi kerajaan negeri pada Selasa selepas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee didakwa enggan memulangkan kenderaan itu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, tindakan itu dilakukan selepas Norhizam yang juga bekas Exco kerajaan negeri gagal memulangkan kereta Toyota Camry berkenaan seperti yang diarahkan.

Menurutnya, polis kemudian menerima laporan daripada seorang kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berhubung kes itu dan telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan harta secara tidak jujur.

"Sehingga kini seramai lima orang saksi telah dirakam percakapan untuk membantu siasatan membabitkan kakitangan Pejabat SUK.

"Kita juga akan memanggil lebih ramai saksi termasuk Norhizam," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini pada Rabu.

Polis menyerahkan surat penyerahan kereta rasmi itu kepada Penolong SUK, Ahmad Suhri Sapian di IPK Melaka di Bukit Beruang, Melaka pada Rabu.
Polis menyerahkan surat penyerahan kereta rasmi itu kepada Penolong SUK, Ahmad Suhri Sapian di IPK Melaka di Bukit Beruang, Melaka pada Rabu.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, kereta itu dijumpai di tempat letak kenderaan di Parkland Residence Melaka.

"Turut dirampas satu anak kunci kereta, satu kad pembayaran elektronik 'Touch n Go,' dan kad minyak dari seorang lelaki yang merupakan pemandu rasmi beliau.

Artikel Berkaitan:

"Proses rampasan bagaimanapun berjalan lancar dan disaksikan lelaki terbabit," katanya.

Pada Sabtu lalu Sinar Harian menyiarkan bekas Exco kerajaan negeri yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee diminta memulangkan semula aset kerajaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ts Kamel Mohamad berkata, pemulangan itu selari dengan tindakan Norhizam yang hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada Isnin lalu.