Penerbitan ilmiah, saintifik sumbangan MARDI

Ahmad (depan, tengah) dan Mohamad Zabawi (depan, kiri) bergambar bersama pengarang dan penyelidik buku baharu terbitan MARDI selepas melancarkan buku tersebut, pada Selasa.
Ahmad (depan, tengah) dan Mohamad Zabawi (depan, kiri) bergambar bersama pengarang dan penyelidik buku baharu terbitan MARDI selepas melancarkan buku tersebut, pada Selasa.
A
A
A

SERDANG - Penerbitan ilmiah dan saintifik merupakan antara sumbangan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi membangunkan serta meningkatkan sektor pertanian negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, MARDI dapat menyebar luas teknologi serta inovasi terkini kepada kumpulan sasar dan masyarakat melalui buku, jurnal, prosiding, manual teknologi dan buletin teknologi.

"Dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), sebanyak 152 judul penerbitan diterbitkan oleh MARDI.

"Selain itu, sebanyak 1,333 artikel berwasit dan 1,925 artikel saintifik penyelidik MARDI diterbitkan dalam penerbitan tempatan dan antarabangsa," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan empat buku baharu badan penyelidikan tersebut di Ibu Pejabat MARDI, di sini pada Rabu.

Buku berkenaan dilancarkan sempena Hari Inovasi MARDI (HIM) 2021 itu ialah 'MARDI Advancing Agriculture Through Innovation', 'Making an Impact in The Agrofood Industry: MARDI ‘s Research 20 Years On', Buletin Pemindahan Teknologi MARDI dan Prosiding MSTE 2021.

Ahmad berharap, penerbitan itu menjadi inspirasi kepada pegawai dan kakitangan MARDI untuk menghasilkan lebih banyak penulisan yang boleh dijadikan rujukan kepada pemegang taruh serta kumpulan sasar badan tersebut.

Katanya, selaras dengan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) ditetapkan, MARDI seharusnya mengeluarkan sekurang-kurangnya 500 penerbitan di bawah setiap pelan rancangan pembangunan lima tahun Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, sasaran utama pembaca ialah kumpulan petani, usahawan, ahli akademik serta saintis.

Artikel Berkaitan:

"Antara buku popular yang mencatatkan jualan tertinggi ialah Lebah Kelulut Malaysia,

Inovasi Pertanian Bandar, Spesies Tumbuhan Herba dan Rempah Ratus, Buku Poket Perosak Penyakit dan Rumpai Padi dan Manual Teknologi Fertigasi Penanaman Cili, Tomato dan Rockmelon.

"Buku-buku ini juga telah diulang cetak sebanyak beberapa kali," ujarnya.

Mohamad Zabawi turut memaklumkan bahawa MARDI akan meningkatkan penerbitan jurnal, buletin dan buku dalam bentuk digital di samping merancang membangunkan perpustakaan digital.

Menurutnya, badan penyelidikan itu juga sedang membangunkan portal jualan buku atas talian atau e-bookshop bagi memudahkan pengguna mendapatkan bahan penerbitan MARDI.