X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Lahar gunung berapi Cumbre Vieja, ratusan penduduk dipindahkan

Aliran lahar menutupi kawasan seluas 595 hektar (5.95 kilometer (km) persegi). - Foto Reuters
A
A

MADRID - Kira-kira 700 hingga 800 penduduk di Sepanyol terpaksa dipindahkan ekoran gunung berapi Cumbre Vieja di pulau La Palma masih memuntahkan lahar, menurut perkhidmatan kecemasan tempatan.

Pada hujung minggu lepas dilaporkan berlaku aliran lahar menutupi kawasan seluas 595 hektar (5.95 kilometer (km) persegi).

Sebelum ini kira-kira 6,000 penduduk dipindahkan selepas gunung berapi yang terletak di barat daya pulau itu meletus pada 19 September lepas, lapor Xinhua.

Letusan itu turut mengakibatkan kira-kira 1,281 bangunan musnah dan lahar gunung berapi telah membentuk kawasan baharu seluas 60 hektar (0.6 km persegi).

Aliran lahar pada Isnin itu juga telah memusnahkan sebuah kilang simen di kawasan perindustrian, menyebabkan 3,500 penduduk di perbandaran El Paso dan Los Llanos de Aridane diarah tidak keluar rumah berikutan kebimbangan berlakunya gas beracun.

Perdana Menteri, Pedro Sanchez dijadual melawat La Palma pada Rabu, lawatan kali keempat dalam tempoh tiga minggu dan beliau dijangka memberikan perincian lanjut mengenai rancangan bantuan kecemasan kerajaan.

Pelan bantuan kerajaan sebelum ini memperuntukkan €206 juta (kira-kira AS$237.8 juta) untuk membantu penduduk yang terjejas. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!