Sarawak mula beri vaksin dos ketiga dan penggalak hari ini

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUCHING - Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) memulakan pemberian dos ketiga dan dos penggalak vaksin Covid-19 jenis Pfizer bermula hari ini di seluruh negeri melalui proses janji temu kepada golongan yang layak.

Kata Timbalan Pengarahnya, Dr Rosemawai Ariffin, suntikan dos ketiga akan diberikan kepada 11,900 individu disasarkan daripada golongan ‘immunocompromised’ atau mempunyai sistem imun (ketahanan badan) yang lemah akibat penyakit atau rawatan perubatan.

Menurutnya, pemberian dos ketiga ini boleh diberikan selang tempoh sekurang-kurangnya 28 hari selepas penerimaan dos kedua.

"Dos ketiga vaksin Covid-19 adalah didefinisikan sebagai pemberian dos vaksin tambahan apabila tindak balas imun seseorang di peringkat awal berkemungkinan tidak mencukupi berikutan daripada pemberian awal vaksin secara berturut-turut (primary vaccine series),” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelas Dr Rosemawati, dos ketiga berfungsi untuk memberi perlindungan tambahan kepada golongan rentan yang mana sistem imun bermasalah menjadikan dua dos sahaja tidak mencukupi untuk merangsang sistem imun melawan jangkitan Covid-19.

Manakala bagi dos penggalak pula, suntikan boleh diberikan hanya selepas enam bulan menerima dos kedua dan akan mengutamakan pemberian kepada warga emas berusia lebih 60 tahun seramai 80,300 serta petugas barisan hadapan perubatan seramai 30,340 orang.

"Dos penggalak vaksin Covid-19 merupakan dos pemberian vaksin bagi seseorang yang pada awalnya mempunyai tindak balas imun yang cukup terhadap pemberian vaksin secara berturut-turut (Primary Vaccine Series) tetapi mungkin menjadi semakin berkurang dari semasa ke semasa.

"Primary Vaccine Series didefinisikan sebagai rangkaian dos vaksin yang diberikan secara berturut-turut untuk mencapai tindak balas awal imun perlindungan dalam kalangan populasi sasaran untuk tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk makluman orang ramai, pemberian dos ketiga dan dos penggalak vaksin Covid-19 boleh didapati di klinik-klinik kesihatan kerajaan terpilih, hospital swasta dan klinik- klinik swasta.

Mereka yang layak boleh menghubungi klinik-klinik tersebut terlebih dahulu sekiranya ingin mendapatkan janji temu.

Bagaimanapun senarai nama klinik kesihatan kerajaan, klinik dan hospital swasta akan dimaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa melalui saluran media massa dan media sosial untuk memudahkan proses janji temu.

"JKNS berharap dengan pemberian dos ketiga dan dos penggalak ini khususnya kepada kumpulan berisiko tinggi akan dapat membawa Sarawak khususnya, dan Malaysia amnya, keluar daripada krisis pandemik ini dan mulai memasuki kehidupan dalam suasana endemik,” katanya. - Awani