Pasfa tanam 400 pokok musang king

Azulita (tengah) menyiram pokok durian musang king selepas selepas melawat projek pembangunan pertanian bercampur ladang Kampung Mahkota pada Rabu.
Azulita (tengah) menyiram pokok durian musang king selepas selepas melawat projek pembangunan pertanian bercampur ladang Kampung Mahkota pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada Pahang bagi tujuan pembangunan pertanian di negeri ini.

Ketua Pengarah LPP, Datuk Azulita Salim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM280,000 diperuntukkan kepada Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) bagi menjalankan projek penanaman durian premium, musang king.

Menurutnya, kelulusan itu bagi membolehkan Pasfa mengoptimumkan penggunaan tanah ladang milik Pasfa di Kampung Mahkota, di sini.

"Saya dimaklumkan pihak Pasfa akan menanam sebanyak 400 pokok durian musang king bermula bulan depan di atas tanah seluas 20 hektar di ladang milik mereka.

"Selepas ditanam, hasilnya diperoleh dalam masa antara empat ke lima tahun. Kita memilih musang king kerana durian ini menghasilkan pulangan yang cukup baik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat projek pembangunan pertanian bercampur ladang Kampung Mahkota pada Rabu.

Hadir sama, Pengerusi Pasfa, Datuk Zamri Yaakob.

Sebelum itu, Azulita berkata, penanaman durian premium tersebut sebagai tambahan projek tanaman durian sedia ada di ladang Pasfa tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, pihaknya dan Pasfa sedang berusaha menjalankan pemulihan 20 pokok durian sedia ada di kawasan ladang itu.

Kebanyakan pokok sedia ada yang terdiri daripada pelbagai spesies seperti D24, IOI dan durian kampung telah berusia lebih 20 tahun.

"Kesemua pokok berkenaan masih mengeluarkan hasil tetapi kita mahu durian sedia ada ini dapat menghasilkan buah yang lebih baik dan berkualiti.

"Kita yakin pemulihan terhadap pokok durian sedia ada ini dapat memberikan pulangan kepada Pasfa," ujarnya.

Menyentuh mengenai projek pembangunan pertanian bercampur di ladang Kampung Mahkota, Azulita memberitahu, kawasan itu akan dijadikan antara lokasi agropelancongan di Pahang.

"Di sini sudah ada kelapa pandan, buah dokong dan madu kelulut. Jadi, lokasi ini akan dibuka bagi kita kenalkan kepada generasi muda tentang produk sedia ada sekali gus melonjakkan industri pelancongan negara," katanya.