Liga Super 2021 tarik lebih 77 juta tontonan

Perlawanan membabitkan pasukan JDT mencatatkan tontonan tertinggi.
Perlawanan membabitkan pasukan JDT mencatatkan tontonan tertinggi.
A
A
A

SAINGAN Liga Super 2021 memiliki tarikan tersendiri apabila mencatatkan 77,965,339 jumlah tontonan melalui platform YouTube rasmi Unifi.

Jumlah tersebut diperolehi menerusi data yang dikumpul sehingga 20 September membabitkan 132 perlawanan.

Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, data terbaharu jumlah tontonan tersebut membuktikan bahawa Liga Malaysia masih dekat di hati peminat bola sepak tanah air serta mempunyai aura tersendiri.

"Sudah pasti ini satu angka yang cukup positif di mana perkembangan Liga Malaysia khususnya Liga Super 2021 terus diikuti peminat bola sepak di negara ini. Di sebalik pandemik Covid-19 yang melanda, saingan Liga Super terus rancak dan mendapat perhatian semua.

“Terima kasih kepada semua pasukan yang menunjukkan komitmen yang tinggi dalam meneruskan saingan dan tidak lupa kepada pihak unifi yang mengambil inisiatif menyiarkan siaran langsung Liga Super 2021 secara percuma menerusi platform unifi dan juga RTM bagi memastikan semua penyokong dapat menonton perlawanan ketika kerajaan menetapkan larangan kemasukan penyokong sebelum ini.

“Saya percaya dengan inisiatif unifi dan RTM ini dapat menyemarakkan bukan saja Liga Malaysia malah menitipkan semangat buat industri bola sepak tanah air yang terkena tempias akibat pandemik Covid-19.

“Tidak lupa juga kepada semua penyokong yang terus memberikan sokongan kepada pasukan-pasukan dalam aksi Liga Super dan diharap sokongan ini berterusan bagi saingan Piala Malaysia yang kini menyambut ulang tahun ke-100,” katanya.

Jumlah tontonan tersebut juga menunjukkan peningkatan berbanding 16,223,282 jumlah tontonan Liga Super 2020 dengan hanya 66 perlawanan berlangsung pada tahun lalu disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan dalam tempoh pandemik Covid-19 ketika itu.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan data tontonan musim ini, pertembungan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 17 Mac menjadi tumpuan utama di platform YouTube unifi dengan mencatatkan jumlah tontonan sebanyak 1,710,079.

Aksi JDT bertemu Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 April pula menjadi perlawanan kedua paling banyak tontonan dengan mencatatkan 1,684,922.

Diikuti aksi ketiga tertinggi jumlah tontonan iaitu Penang FC menentang JDT di Stadium Bandaraya pada 8 Mei 2021 dengan rekod 1,630,076.

Berdasarkan data sehingga 20 September, secara keseluruhan JDT menjadi pasukan paling banyak jumlah tontonan di platform YouTube unifi sebanyak 22,600,959 diikuti Kedah Darul Aman FC iaitu 15,901,863 dan Penang FC mencatatkan jumlah tontonan sebanyak 13,211,869.