Pelancong domestik teroka lokasi pelancongan baharu

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

KOTA BHARU - Pelancong domestik kini lebih memilih lokasi pelancongan baharu untuk diteroka dalam tempoh pandemik berbanding lokasi-lokasi popular yang telah sedia ada.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin berkata, kajian pihaknya mendapati, rakyat Malaysia lebih memilih lokasi baharu bagi mengelak berlakunya kesesakan terutamanya melibatkan cuti hujung minggu dan cuti umum.

"Sebelum ini kita tengok pelancong akan membanjiri lokasi-lokasi pelancongan yang popular, namun kini mereka lebih memilih lokasi baharu untuk diteroka kerana risau dengan penularan Covid-19 jika satu-satu lokasi itu dikunjungi orang ramai.

"Langkah tersebut amat baik bagi memastikan tiada kesesakan berlaku tambahan pula lokasi-lokasi baharu yang diteroka itu mempunyai nilai tersendiri," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Hafiz Hazin
Hafiz Hazin

Hafiz sebelum itu meninjau persediaan Hotel The Grand Renai untuk menyambut kepulangan perantau selepas diumumkan kebenaran rentas negeri pada Isnin.

Mengulas lanjut, pihaknya juga telah melakukan tinjauan berkala melibatkan lokasi-lokasi pelancongan di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Katanya, tinjauan dan pemantauan tersebut amat penting untuk melihat persediaan dan keperluan pemain industri dalam pelbagai skop untuk membuka kembali perniagaan mereka setelah berehat disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan:

"Kami buat tinjauan sejak pertengahan September, semuanya berjalan lancar dan kita telah mengadakan pertemuan dengan pemain-pemain industri yang berkaitan untuk melihat hala tuju mereka selepas sektor ini kembali dibuka.

"Banyak cadangan diberikan dan kita di peringkat agensi akan menerima pandangan berkenaan untuk jangka masa panjang. Apa yang penting, mereka sudah bersedia sepenuhnya untuk kembali beraksi dalam industri.

"Persediaan kali ini bukan hanya melibatkan apa yang mereka tawarkan, tetapi bagaimana mereka menguruskan perniagaan mereka dalam tempoh pandemik, terutama cara penjagaan prosedur operasi standard (SOP) untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Perkara seperti ini kita perlu praktikkan supaya rakyat lebih faham dan jelas dengan undang-undang baharu ini," katanya.