Kanak-kanak autisme maut tertinggal dalam van

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SEREMBAN - Seorang kanak-kanak perempuan autisme berusia lapan tahun ditemukan tidak sedarkan diri selepas tiga jam ditinggalkan di dalam van di Taman Nusari Bayu 2, di sini petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, polis menerima maklumat kejadian jam 7.46 malam daripada seorang lelaki yang merupakan pemandu van berkenaan.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran sepatutnya dihantar ke pusat jagaan harian di Taman Nusari Aman di sini oleh pemandu van tersebut.

"Namun dia pulang ke rumah tanpa menyedari mangsa masih berada di dalam van," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Rabu.

Menurutnya, mangsa tanpa disedari oleh pemandu van itu berada di dalam van yang dipakir di hadapan rumahnya dari jam 2.30 petang hingga jam 5.30 petang.

Beliau berkata, pemandu van berkenaan yang menemui mangsa tidak sedarkan diri telah menghantarnya ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini sebelum disahkan telah meninggal dunia.

"Bedah siasat akan dilakukan terhadap mangsa pagi Rabu bagi mengetahui punca kematiannya," katanya.

Dalam pada itu katanya, polis telah menahan pemandu van berkenaan yang berusia 34 tahun untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Artikel Berkaitan: