Sertai kejohanan PUBG SPRM sambil sebar mesej antirasuah

POSTER KEJOHANAN
POSTER KEJOHANAN
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 1,280 pemain telah mengesahkan penyertaan dalam kejohanan e-sukan SPRM PUBG I-Contender anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa lima hari bermula 18 Oktober ini.

Sambutan menggalakkan itu menjadi petunjuk bahawa masyarakat Malaysia terbuka dalam penerimaan mesej antirasuah melalui pelbagai platform.

Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Mohamad Tarmize Abdul Manaf berkata, pelbagai info dan video pencegahan rasuah akan dimainkan sepanjang perlawanan itu.

“Pengulas permainan atau pun caster akan menyampaikan mesej antirasuah seperti bagaimana untuk melaporkan kejadian rasuah, jenis-jenis rasuah, bahaya rasuah dan mengajak penonton untuk menyemai integriti dalam kehidupan harian,” katanya kepada kru Rasuah Busters baru-baru ini.

Mohamad Tarmize
Mohamad Tarmize

Kejohanan e-sukan yang mengangkat tema ‘Keluarga Malaysia Benci Rasuah’ itu bakal bermula pada 18 hingga 24 Oktober dan ia merupakan kesinambungan program PUBG Mobile I-Challenge yang pernah dianjurkan SPRM sebelum ini.

Cetusan idea daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki itu merupakan pendekatan strategik SPRM untuk menyebar luas mesej antirasuah melalui program berasaskan minat.

Program sebegini bukan sahaja mendekati belia, tetapi sesiapa sahaja yang meminati e-sukan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Azam berkata, program itu menyajikan info penting berkaitan jenayah rasuah yang dapat disaksikan oleh pemain dan penonton secara santai.

“Program e-sukan ini adalah wadah dalam mempraktikkan nilai integriti dalam berpasukan selain melahirkan belia yang kreatif dan intelektual ke arah negara bebas rasuah,” kata beliau dalam Majlis Perasmian SPRM PUBG Mobile I-Contender secara maya menerusi laman Facebook Malaysia Esport Federation (MESF).

Azam Baki
Azam Baki

Kejohanan e-sports oleh SPRM kali ini menampilkan kelainan dengan mempertandingkan kategori wanita selain kategori terbuka. Juara pertandingan bagi kategori terbuka bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, naib juara RM2,500, tempat ketiga RM1,500 dan tempat keempat RM1,000.

Bagi kategori wanita pula juara bakal memenangi hadiah wang tunai RM1,500, naib juara RM700, tempat ketiga RM500 dan tempat keempat RM300. SPRM PUBG Mobile I-Contender akan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi MESF dan SPRM Community.