Malaysia tepati ramalan

Zii Jia raih mata pertama negara apabila tewaskan pemain ranking ke-39 dunia, Brian Yang 21-18, 21-13 pada aksi sulung peringkat kumpulan di Arena Ceres, Aarhus, Denmark pada Rabu. - Foto gettyimages
Zii Jia raih mata pertama negara apabila tewaskan pemain ranking ke-39 dunia, Brian Yang 21-18, 21-13 pada aksi sulung peringkat kumpulan di Arena Ceres, Aarhus, Denmark pada Rabu. - Foto gettyimages
A
A
A

SKUAD Piala Thomas negara menepati ramalan mara ke suku akhir setelah menewaskan Kanada 5-0, pada aksi sulung peringkat kumpulan di Arena Ceres, Aarhus, Denmark pada Rabu.

Kemenangan itu menyaksikan barisan pemain muda negara kini hanya perlu memberikan fokus berdepan Jepun pada Khamis dalam usaha menentukan juara dan naib juara Kumpulan D setelah England mengumumkan menarik diri baru-baru ini.

Mata pertama negara diraih juara All England yang juga pemain ranking kelapan dunia, Lee Zii Jia apabila menewaskan pemain ranking ke-39 dunia, Brian Yang 21-18, 21-13.

Biarpun menerima tentangan sengit pada set pertama, namun Zii Jia dilihat menggunakan segala pengalaman yang dimilikinya sebelum menewaskan Brian dalam masa 38 minit.

Pemain perseorangan kedua negara, Cheam June Wei kemudiannya memberikan mata kedua kepada skuad negara apabila menewaskan Jason Anthony Ho-Shue, 21-14, 21-14 dalam masa 40 minit.

Bagaimanapun, June Wei yang juga pemain ranking ke-67 dunia dilihat menerima tentangan sengit daripada Jason (ranking ke-46 dunia), sebelum menang dalam masa 40 minit.

Kecemerlangan skuad negara diteruskan pemain perseorangan ketiga, Ng Tze Yong yang menewaskan B.R Sankeerth, 21-7, 21-19.

Setelah mudah menewaskan Sankeerth pada set pertama, Tze Yong yang juga pemain ranking ke-82 dunia diberikan tentangan sengit pada set kedua sebelum berjaya menewaskan Sankeerth (ranking ke-83 dunia) dalam masa 42 minit.

Artikel Berkaitan:

Beregu pertama negara, Soh Wooi Yik-Nur Izzuddin Rumsani pula memberikan mata keempat negara apabila mudah menewaskan gandingan Philiphe Charron-Maxime Tetreault, 21-7, 21-10 dalam masa 25 minit.

Mata kelima skuad negara diraih menerusi gandingan Aaron Chia-Goh Sze Fei yang menewaskan B.R Sankeerth-NYL Yakura, 21-14, 21-13 dalam masa 31 minit.