Kebenaran rentas negeri mudahkan rakyat selesai urusan tergendala

Orang ramai beratur untuk mendapatkan tiket di TBS.
Orang ramai beratur untuk mendapatkan tiket di TBS.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kebenaran rentas negeri yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad memberi peluang kepada rakyat untuk menguruskan pelbagai urusan yang tergendala akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Tinjauan Sinar Harian di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasek Selatan, di sini pada Selasa mendapati, orang ramai mula beratur di kaunter tiket bermula jam 9 pagi untuk membeli tiket bas ke destinasi yang diingini.

Walaupun jumlah penumpang semakin berkurang menjelang tengah hari, hasil tinjauan bagaimanapun mendedahkan, jumlah orang yang hadir di sini masih terkawal dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka.

Salah seorang pekerja di sini yang enggan dikenali berkata, pembelian tiket terus meningkat bermula Isnin melebihi 2,000 tiket sehari.

Bagaimanapun, dia tidak dapat memastikan destinasi yang paling ramai dikunjungi oleh penumpang di sini.

Hermawan
Hermawan

“Setakat Selasa, lebih 2,000 tiket berjaya dijual sejak pengumuman kebenaran untuk rentas negeri dibuat pada Ahad.

“Kami jangkakan jumlah ini terus meningkat terutamanya hujung minggu ini,” katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, rata-rata orang ramai yang berada di TBS memberikan pelbagai alasan untuk merentas negeri ke destinasi yang diingini, selain pulang ke kampung dan bertemu keluarga.

Nor Syazleen
Nor Syazleen

Salah seorang penumpang, Siti Mariah Solehan, 34, berkata, dia ingin pulang ke kampungnya di Kuantan, Pahang untuk berjumpa ibu bapanya setelah hampir setahun tidak ke sana.

Dia yang tinggal di Kota Damansara berkata, agak mudah untuknya membeli tiket secara dalam talian kerana masih ada banyak kekosongan buat masa ini.

“Saya beli tiket secara dalam talian pada pagi Selasa dan buat masa ini sangat mudah untuk dapatkan tiket, kerana mungkin belum ramai yang merancang untuk pulang ke kampung,” katanya.

Berbeza pula dengan seorang warga Indonesia, Hermawan, 31, yang ingin ke Muar, Johor untuk menguruskan permit kerjanya yang hampir tamat tempoh tidak lama lagi.

Katanya, dia datang ke sini untuk membeli tiket bas di kaunter untuk bertolak ke Muar, Johor setelah bertemu majikannya di Rawang.

Arvind
Arvind

“Saya nak ke Muar untuk uruskan permit kerja yang hampir tamat tempoh.

“Bila saya ke kaunter tiket di sini, saya dapati masih ada banyak kekosongan tempat duduk, jadi saya terus membeli tiket,” katanya yang bekerja di sebuah ladang kelapa sawit di Batu Gajah, Perak.

Dalam pada itu, seorang pelajar dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Arvind Ramu, 19, mengambil peluang kebenaran rentas negeri ini untuk pulang ke kampus induknya di Kangar, Perlis pada Selasa.

Dia yang kini memasuki semester tiga pengajiannya berasa lega dapat pulang ke kampus setelah menjalankan pembelajaran dalam talian semasa tinggal di Semenyih sebelum ini.

“Buat masa ini saya masih belajar secara dalam talian di Semenyih, jadi bila dibenarkan untuk rentas negeri, saya ambil peluang ini untuk pulang ke kampus.

Siti Mariah
Siti Mariah

“Saya beli tiket secara dalam talian kerana ia lebih mudah dan tidak perlu bersesak di kaunter tiket di sini,” katanya.

Selain itu, Nor Syazleen Mat Rozi, 25, menjelaskan dia ingin pulang ke kampungnya di Lumut, Perak untuk menyelesaikan urusan yang tergendala sejak PKP sebelum ini.

Dia yang tinggal bersama abangnya di Setapak di sini bagaimanapun pulang seorang diri kerana abangnya tidak dapat kelulusan cuti balik ke kampung dengannya.

“Dah setahun tidak pulang ke kampung, jadi bila dah boleh rentas negeri, saya ambil peluang pulang ke kampung untuk menguruskan beberapa perkara yang tergendala sebelum ini akibat PKP.

“Asalnya nak pulang bersama abang, tapi dia tak boleh ikut kerana tidak boleh mengambil cuti,” katanya.