X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Waspada gelombang hujung minggu

Foto hiasan
A
A

KEBANYAKAN lebuh raya dijangka sesak pada hujung minggu ini apabila kenderaan bertambah susulan kebenaran rentas negeri.

Jualan tiket bas dilaporkan naik sehingga 70 peratus terutama ke pantai timur. Ramai yang merancang untuk bercuti panjang sempena Maulidur Rasul, Selasa depan.

Dalam keghairahan tersebut, orang ramai diingatkan jangan lupa terhadap dua perkara iaitu mematuhi SOP dan menjaga keselamatan sepanjang perjalanan.

Apatah lagi pihak polis memberi amaran akan menyaman individu belum divaksin yang cuba-cuba merentas negeri.

Tindakan tegas itu wajar diambil menerusi pemeriksaan di lokasi tumpuan ramai seperti kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

Pemeriksaan mengejut boleh dilakukan dari masa ke masa bagi memastikan individu tanpa vaksin tidak ambil kesempatan pulang ke kampung.

Lembaga Lebuhraya Malaysia pada Isnin mengunjurkan sebanyak empat juta kenderaan bakal berada di lebuh raya setiap hari.

Dengan mobilisasi sebesar itu, pasti akan ada individu tidak divaksin yang mungkin terlepas balik kampung.

Malangnya, tempoh 571 hari kawalan pergerakan sejak 18 Mac 2020 sehingga pengumuman kebenaran rentas negeri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahad lalu adalah terlalu lama dan melelahkan untuk pihak polis melakukan sekatan jalan raya secara besar-besaran.

Itu belum lagi pemantauan SOP seperti penjarakan fizikal khususnya di kawasan R&R.

Ironinya, ketika negara-negara di seluruh dunia bergelut dengan pengurusan pandemik Covid-19, Singapura mengambil langkah berinovasi untuk memastikan rakyatnya mematuhi SOP dengan menggunakan robot yang diprogram untuk memantau dan memberi amaran menerusi pembesar suara, contohnya pematuhan penjarakan fizikal.

Beberapa jenis robot digunakan bagi projek perintis ini sejak tahun lalu termasuk robot bernama Xavier, Matar, O-R3, Spot, dan Swan yang distesenkan di lokasi berbeza sekitar Singapura.

Namun begitu, rakyat Malaysia pastilah tidak selesa jika kehidupan dan pergerakan mereka sentiasa dipantau robot seperti dalam filem Robocop.

Satu-satunya pilihan terbaik ialah patuh SOP serta peraturan secara kendiri dan sepenuh hati.

Waspadalah dengan gelombang kenderaan hujung minggu ini.

Jadilah rakyat Malaysia yang bertanggungjawab.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!