Bukan misi mustahil

Aaron dan Wooi Yik menjadi sandaran untuk menyumbang mata buat Malaysia pada kempen Piala Thomas kali ini.
Aaron dan Wooi Yik menjadi sandaran untuk menyumbang mata buat Malaysia pada kempen Piala Thomas kali ini.
A
A
A

ATAS kertas, skuad badminton lelaki negara bakal berdepan ujian sukar apabila dijadualkan menentang Jepun dalam aksi kedua Kumpulan D Piala Thomas 2020 di Ceres Arena, Aarhus, Denmark pada awal pagi Khamis ini.

Bagaimanapun, ia bukan satu misi mutahil buat barisan pemain negara yang diketuai jaguh perseorangan, Lee Zii Jia untuk mengejutkan pasukan dari negara Matahari Terbit itu.

Menurut legenda badminton yang juga bekas pemain beregu negara, Datuk Razif Sidek, beliau secara peribadi melihat peluang skuad negara untuk mencatatkan kejayaan dalam pertemuan menentang Jepun tetap ada.

“Barisan pemain muda negara perlu tunjukkan prestasi terbaik dan bermain tanpa perasaan gentar dan terbuka. Kalah, menang itu soal lain... apa yang penting dari segi pemikiran mereka untuk menang.

“Ini kerana pihak lawan (Jepun), rata-ratanya diwakili pemain berpengalaman. Mereka juga berada pada ranking dunia yang baik berbanding pemain-pemain muda negara.

“Tetapi mereka juga manusia, boleh buat silap di gelanggang. Jadi pemain-pemain muda negara tidak perlu takut dengan lawan mereka yang jauh lebih berpengalaman.

“Bermainlah dengan sepenuh hati. Menang bolehlah dianggap satu bonus, tetapi jika tewas sekalipun, mereka masih berpeluang menebusnya pada masa akan datang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Selain Zii Jia, Malaysia menyandarkan harapan kepada beregu utama yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bagi memburu mata penting dalam kempen Piala Thomas kali ini.

Artikel Berkaitan:

Empat lagi pemain perseorangan yang menggalas cabaran Malaysia ialah Ng Tze Yong, Cheam June Wei, Leong Jun Hao dan Aidil Sholeh Ali Sadikin selain tiga beregu - Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Low Hang Yee.

Mengulas lanjut, Razif berkata, beberapa pemain muda negara yang lain mampu mencipta kejutan ke atas lawan mereka jika barisan kejurulatihan merencana taktikal yang betul.

“Tanpa mengambil kira pertemuan menentang Kanada awal pagi nanti (Rabu), saya lihat peluang buat Malaysia mara ke peringkat suku akhir cukup terbuka selepas England menarik diri.

“Jadi peluang yang ada itu tidak harus dipersia-siakan. Dalam kejohanan berpasukan seperti Piala Thomas ini, taktikal atau susunan pemain itu cukup penting dalam memburu mata,” jelasnya.