Polis Terengganu sedia laluan alternatif elak kesesakan

Ismail Man
Ismail Man
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu menjalankan Ops Lancar bagi menangani kesesakan lalu lintas berikutan jangkaan pertambahan jumlah kenderaan pada hujung minggu ini.

Ketua JSPT Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, operasi melibatkan kekuatan seramai 73 anggota termasuk lapan pegawai selain dibantu 14 anggota kereta peronda polis (MPV) di setiap daerah.

"Sempena Ops Lancar ini, kita membuat perancangan untuk menyediakan beberapa laluan alternatif untuk menyuraikan kesesakan lalu lintas sekiranya berlaku pertambahan kenderaan.

"Sekiranya didapati berlaku pertambahan kenderaan dan sistem lampu isyarat tidak dapat menampung kesesakan tersebut, beberapa langkah akan diambil bagi melancarkan aliran trafik bagi pengguna jalan raya yang dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan untuk ke Kuala Terengganu," katanya.

Beliau berkata, pengguna jalan raya boleh menggunakan jalan alternatif iaitu laluan susur keluar Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) – Lampu Isyarat Tepoh – Bulatan Batu Rakit – Penarik – Bulatan Che Selamah – Saujana – Beting Lentang – Kampung Raja – Kampung Lampu – Kuala Besut.

"Selain itu, pengguna jalan raya dari arah Kuala Terengganu ke Kelantan juga boleh menggunakan laluan alternatif di simpang tiga Kampung Renek, seterusnya melalui jalan pantai untuk ke arah Kelantan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ismail berkata, pengguna jalan raya dari arah Kelantan ke Terengganu juga boleh menggunakan laluan alternatif melalui simpang di Kampung Seberang Jerteh (Persimpangan lampu isyarat Masjid Ulul Albab), seterusnya melalui jalan pantai untuk ke arah Kuala Terengganu.

"Mereka boleh menggunakan laluan pasir Puteh melalui Kuala Besut – Penarik – Bulatan Batu Rakit – Lampu Isyarat Tepoh ke LPT 2.

Artikel Berkaitan:

"Jika di daerah Setiu, pengguna boleh membuat laluan terus di lampu Isyarat Chalok, lampu Isyarat Permaisuri dan lampu isyarat Panchor Merah. Kita akan menempatkan anggota 'point duty' di kawasan yang dikenal pasti akan menjadi kesesakan 'bottle neck'," katanya.

Menurut Ismail, jika di Besut pula, pihaknya sudah membuka tiga lorong di atas Jambatan Jerteh di mana dua lorong dibuka kepada kenderaan dari arah Kuala Terengganu ke Kelantan, manakala satu lorong dibuka kepada kenderaan dari arah Kelantan ke Terengganu dengan cara meletakkan penghadang sebagai pembahagi jalan sementara.

"Kita akan menempatkan anggota 'point duty' di tiga persimpangan lampu isyarat iaitu di persimpangan lampu isyarat hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Chung Hwa, Jerteh; persimpangan lampu isyarat Pekan Jerteh (hadapan bank CIMB Jerteh) dan persimpangan lampu isyarat Seberang Jerteh (hadapan Masjid Ulul Albab)," katanya.

Ismail berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan sebelum tiba di bulatan Kampung Lampu dengan menempatkan anggota 'point duty' di lokasi bertujuan mengawal pergerakan lalu lintas.

"Tindakan selepas di bulatan Kampung Lampu pula, kita menempatkan anggota 'point Duty' di lokasi bagi mengawal pergerakan lalu lintas.

"Di Marang pula, kita akan membuat laluan terus di lampu isyarat seberang Marang dan lampu isyarat akan dibuat 'amber flashing' selain menempatkan anggota 'point Duty' di kawasan yang menjadi kesesakan 'bottle neck'," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Aliran trafik di Terengganu dijangka meningkat dua kali ganda