Jurulatih Malaysia latih pemain badminton baharu Qatar

Radhakrishnan (kiri) menunjukkan memorandum perjanjian persetujuan untuk penghantaran jurulatih Roobenraj ke Qatar di Wisma UFL pada Selasa. - Foto Bernama
Radhakrishnan (kiri) menunjukkan memorandum perjanjian persetujuan untuk penghantaran jurulatih Roobenraj ke Qatar di Wisma UFL pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SERAMPANG dua mata. V Roobenraj bukan sahaja mahu menjadi jurulatih Malaysia pertama di negara Asia Barat tetapi beliau juga mahu memulakan semula kariernya sebagai pemain profesional di negara itu.

Bekas pemain ‘junior’ kebangsaan itu akan menyertai New Vision Badminton Club di Qatar untuk melatih pemain badminton muda negara itu, selain mengambil peluang untuk meningkatkan lagi skil permainannya di sana.

“Saya amat teruja dengan peluang untuk bermain dan melatih bersama sebuah kelab di Qatar. Saya bercita-cita untuk menjadi juara dunia suatu hari nanti.

“Ia akan menjadi satu pengalaman besar untuk saya membawa permainan itu ke satu tahap baharu. Terima kasih kepada pengalaman saya ketika bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), ini merupakan satu batu lonjakan untuk meneroka perkara baharu dalam permainan saya,” katanya pada satu sidang media di sini pada Selasa.

Walaupun menjadi jurulatih buat kali pertama, pemain kelahiran Kulim, Kedah itu percaya akan dapat memberikan komitmen 100 peratus bagi menjadikan impiannya itu satu kenyataan, dan berterima kasih atas usaha Presiden Persatuan Badminton India Malaysia (MIBA), Datuk V Radhakrishnan atas kepercayaan untuk beliau memperbaiki karier badmintonnya di Qatar.

Pelajar tahun akhir di sebuah universiti swasta yang berusia 22 tahun itu sebelum ini bersekolah di Sekolah Sukan Bukit Jalil dan berlatih di bawah bekas jurulatih kebangsaan seperti Jeremy Gan, Cheah Soon Kit dan Rosman Razak.

Sementara itu, Radhakrishan berkata, mereka menerima jemputan daripada Persatuan Badminton Qatar (QBA) menerusi pihak ketiga baru-baru ini, dengan sasaran untuk mencari seorang yang boleh melatih pemain muda mereka dalam usaha untuk memilik pemain-pemain badminton terbaik pada 2030.

Menurut beliau, Roobenraj merupakan satu-satunya pemain yang berminat untuk menjadi jurulatih dan mereka percaya beliau akan menikmati kejayaan di Qatar.

Artikel Berkaitan:

“Kesemua pendapatan Roobenraj, akan diuruskan oleh Qatar dan beliau akan berada di bawah kontrak setahun dengan pilihan tambahan satu tahun lagi, jika mereka (QBA) berpuas hati dengan perkhidmatannya,” kata beliau bahawa Roobenraj akan menghabiskan tahun akhirnya sebagai pelajar secara dalam talian dari Qatar.

Sementara itu, Radhakrishnan menjelaskan, MIBA akan menganjurkan sekurang-kurangnya tiga kejohanan pada peringkat akar umbi tahun hadapan, dalam usaha mengenal pasti bakat baharu daripada masyarakat India selain membantu lebih daripada 500 sekolah Tamil dalam pembangunan badminton kepada pelajarnya.

Kata beliau, bahawa MIBA telah menerima respons dan pertanyaan yang banyak daripada ibu bapa masyarakat India mengenai cara-cara untuk membantu anak-anak mereka yang menunjukkan minat pada badminton berikutan persembahan S. Kiosona, M. Thinaah dan K. Letshanaa bersama skuad negara di Piala Sudirman dan Piala Uber. - Bernama