Mahkamah tangguh keputusan SIS cabar enakmen agama Islam Selangor

Mahkamah Persekutuan tangguh keputusan berhubung tindakan undang-undang oleh Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) untuk mencabar peruntukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor.
Mahkamah Persekutuan tangguh keputusan berhubung tindakan undang-undang oleh Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) untuk mencabar peruntukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa menangguhkan keputusan berhubung tindakan undang-undang oleh Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) untuk mencabar peruntukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah negeri untuk mengkaji semula fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menangguhkan keputusan itu selepas mendengar hujah daripada peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili SIS selaku pempetisyen dan Penasihat Undang-Undang Selangor, Datuk Salim Soib@Hamid yang mewakili kerajaan negeri Selangor selaku responden.

Peguam Zainur Zakaria dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang bertindak bagi pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) selaku pencelah juga berhujah pada prosiding yang dijalankan secara maya itu.

“Kami akan CAV (curia advisari vult) perkara ini. Kami tangguhkan kes ini,” kata Hakim Tengku Maimun.

Panel itu turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zaleha Yusof, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Pada 22 September tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada SIS untuk meneruskan tindakan perundangannya di Mahkamah Persekutuan menerusi Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan.

SIS memohon kebenaran itu untuk mendapatkan satu deklarasi bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah tidak sah.

Seksyen 66A menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah, boleh, demi kepentingan keadilan, atas permohonan mana-mana orang, menggunakan bidang kuasanya untuk mendengar dan membenarkan permohonan bagi semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat oleh Majlis atau jawatankuasa dalam menjalankan tugas di bawah Enakmen ini.

Artikel Berkaitan:

Malik Imtiaz sebelum itu berhujah kuasa semakan kehakiman adalah intrinsik dan wujud dalam kuasa kehakiman mahkamah sivil.

“Kuasa ini diberikan secara eksklusif di mahkamah sivil. Kuasa tersebut hanya boleh dilaksanakan oleh mahkamah yang ditubuhkan di bawah Bahagian XI Perlembagaan Persekutuan. Seperti yang dinyatakan dalam kes Indira Gandhi, Mahkamah Syariah bukanlah mahkamah seperti itu dan oleh itu tidak boleh menggunakan kuasa semakan kehakiman,” kata peguam itu.

SIS memfailkan permohonan itu pada Januari lepas dan menamakan kerajaan negeri Selangor sebagai responden.

Pada 27 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman SIS untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Nordin Hassan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan hukum syarak dalam Undang-Undang Syariah sambil menambah bahawa isu fatwa mempunyai kaitan dengan Undang-Undang Syariah dan terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Beliau berkata, Seksyen 66A adalah ruang untuk memohon semakan kehakiman terhadap jawatankuasa fatwa di Mahkamah Tinggi Syariah.

Bagaimanapun, rayuan SIS terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman pertubuhan itu belum selesai di Mahkamah Rayuan. - Bernama