Tidak boleh sentiasa bergantung kepada pemain JDT

Jamal Nasir percaya skuad negara tidak boleh sentiasa bergantung kepada khidmat pemain Johor Darul Ta'zim (JDT). - Foto FAM
Jamal Nasir percaya skuad negara tidak boleh sentiasa bergantung kepada khidmat pemain Johor Darul Ta'zim (JDT). - Foto FAM
A
A
A

LEGENDA bola sepak kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail percaya skuad negara bimbingan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe, tidak boleh sentiasa bergantung kepada khidmat pemain Johor Darul Ta'zim (JDT).

Saranan dilontarkan bekas pemain pertahanan Pahang itu susulan jurang prestasi antara pemain sering diberi kepercayaan menyarung jersi negara dan barisan pemain baharu yang dipanggil mewakili skuad kebangsaan, pada dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Amman, Jordan baru-baru ini.

Jamal Nasir yang membentuk gandingan pertahanan skuad kebangsaan yang utuh bersama Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh dan Kamarudin Abdullah berkata, inisiatif untuk mengetengahkan pemain baharu yang berbakat perlu berterusan dari semasa ke semasa.

“Supaya pemain-pemain baharu itu bila kita gabungkan dengan pemain JDT akan menjadikan skuad kebangsaan lebih hebat. Pemain-pemain baharu ini kita mesti tolong dengan beri pendedahan supaya mereka dapat tunjukkan kemampuan dan raih keyakinan untuk mewakili negara,” katanya kepada Bernama.

Hanya empat pemain JDT bersama skuad bimbingan Cheng Hoe bagi menghadapi siri persahabatan di Amman yang menyaksikan Malaysia tewas 0-4 dan 1-5 masing-masing kepada Jordan dan Uzbekistan.

Jumlah pemain itu jauh lebih rendah, berbanding 13 pemain skuad Harimau Selatan yang memperkuatkan pasukan negara pada saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun lepas.

Pada kempen kelayakan itu, lapan pemain JDT diturunkan dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan yang tewas 0-4 kepada UAE sebelum jumlah itu meningkat kepada sembilan pemain sewaktu kalah 1-2 berdepan Vietnam dan enam pemain digunakan ketika menang 1-0 bertemu Thailand.

Bagi Jamal Nasir, beliau tidak bersetuju dengan sesetengah pendapat yang mengaitkan prestasi buruk skuad kebangsaan pada siri persahabatan di Amman dengan faktor ketiadaan pemain JDT.

Artikel Berkaitan:

“Ketiadaan pemain-pemain JDT dalam pasukan mesti kita gunakan untuk mengetengahkan pemain-pemain baharu, supaya kita mempunyai pilihan lebih banyak selepas ini.

“Saya sokong 200 peratus apa yang Cheng Hoe buat, kerana bagi saya ini satu tindakan berani yang orang takkan fikir dia (Cheng Hoe) berani untuk tonjolkan pemain-pemain baharu berdepan Jordan dan Uzbekistan,” kata Jamal Nasir.

Mengambil kira intensiti permainan berbeza, beliau berkata, seseorang pemain yang menyerlah dalam saingan domestik tidak semestinya mampu melakukan yang sama apabila menyarung jersi negara.

Jamal Nasir berkata, dengan terus memberi peluang kepada pemain lain menerusi perlawanan persahabatan, mereka mempunyai platform sewajarnya untuk menguji keupayaan bermain di pentas antarabangsa seterusnya merebut tempat dalam pasukan.

Katanya, dua pemain muda, Mohamad Faisal Abdul Halim dari Terengganu FC dan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC), antara pemain baharu yang berjaya menunjukkan kematangan dalam permainan di Amman.

“Seperti Faisal dan Mukhairi, mereka adalah dua pemain kita tahu mempunyai bakat terpendam selama ini dan tidak mendapat perhatian, tetapi apabila diberi peluang kali ini mereka menunjukkan hasil memberangsangkan,” katanya yang gembira dengan perkembangan itu.

Jamal Nasir berkata, sebagai bekas pemain yang pernah melalui era kegemilangan bola sepak negara pada 70-an dan 80-an, beliau hanya mempunyai satu impian untuk melihat Malaysia kembali mencabar bagi mendapatkan slot ke Sukan Olimpik. - Bernama