Anugerah Puskas 2019: FAM setuju cadangkan gol Syahmi

FAM akan menghantar surat cadangan pencalonan kepada FIFA.
FAM akan menghantar surat cadangan pencalonan kepada FIFA.
A
A
A

PERSATUAN Bola sepak Malaysia (FAM) bersetuju mencadangkan gol pemain muda kebangsaan, Muhammad Syahmi Safari ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF 2018 dicalonkan ke Anugerah Puskas Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA) 2019.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam berkata susulan daripada keputusan itu, FAM akan menghantar surat rasmi kepada FIFA bagi mencadangkan gol jaringan pemain berusia 21 itu dapat tersenarai sebagai salah satu calon anugerah berkenaan.

Jaringan Muhammad Syahmi itu dijaringkan menerusi satu gerakan berpasukan pada minit ke-28 ketika perlawanan bertemu Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 5 Disember lalu.

Keunikan gol Muhammad Syahmi terhasil menerusi tujuh hantaran melibatkan tujuh pemain bermula daripada penjaga gol, Mohd Farizal Marlias sebelum disudahkan dengan sepakan kaki kanan pemain itu.

“FAM berharap ia akan berjaya tersenarai sebagai salah satu daripada 10 calon untuk Anugerah Puskas FIFA 2019. FAM akan melampirkan salinan video gol tersebut untuk dinilai oleh FIFA.

Walaupun senarai 10 calon gol tercantik untuk Anugerah Puskas FIFA 2019 itu nanti akan dicadangkan dan dipilih sendiri oleh FIFA dan jawatankuasa pemilihannya, FAM berpendapat surat cadangan pencalonan tetap perlu dihantar kepada FIFA sebagai tanda sokongan FAM dan bagi memastikan gol berkenaan mendapat perhatian FIFA,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Artikel Berkaitan: