Kadar kenaikan gaji minimum perlu dilihat semula

Kerajaan dicadang supaya melihat semula kadar kenaikan gaji minimum khususnya untuk para graduan, yang dilihat masih tidak setimpal dengan peningkatan kos sara hidup. Foto 123RF
Kerajaan dicadang supaya melihat semula kadar kenaikan gaji minimum khususnya untuk para graduan, yang dilihat masih tidak setimpal dengan peningkatan kos sara hidup. Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan dicadang supaya melihat semula kadar kenaikan gaji minimum khususnya untuk para graduan, yang dilihat masih tidak setimpal dengan peningkatan kos sara hidup.

Senator Dr Yaakob Sapari berkata, kadar kenaikan gaji buat masa ini tidak melebihi 100 atau 150 peratus, sedangkan kadar kos sara hidup meningkat antara 400 ke 600 peratus.

“RMK12 (Rancangan Malaysia Ke-12) juga masih memfokuskan membantu golongan miskin dan rancangan menjadikan negara berpendapatan tinggi, tetapi malangnya kadar upah yang diberi tidak setimpal dengan apa yang diusahakan.

“Bayangkan saya graduan universiti tahun 1985, ketika itu kawan-kawan saya yang kerja kerajaan gajinya RM1,060 campur elaun RM1,200. Kini (hampir) 40 tahun berlalu, graduan universiti ada dibayar gaji di bawah RM2,000, maknanya graduan universiti bekerja di bawah paras kemiskinan,” katanya ketika sesi perbahasan RMK12 di Dewan Negara di sini pada Selasa.

Beliau berkata, kadar upah rendah telah menyebabkan ramai anak muda berhijrah ke negara lain untuk bekerja, kerana gaji ditawarkan serta nilai mata wang yang lebih tinggi di negara tersebut.

“Sebelum pandemik Covid-19 sekitar 300,000 pekerja Malaysia menyeberang Tambak Johor untuk bekerja di Singapura kerana gaji di sana lebih tinggi dan nilai mata wangnya lebih tinggi. Sebab itulah usaha untuk menaikkan kadar gaji minimum ini perlu dilihat semula,” katanya.

Sementara itu, Senator Datuk A Kesavadas pada sesi perbahasan RMK12 berkata, pemadanan profesional merupakan elemen terpenting bagi kerajaan menjayakan fokus kelima iaitu membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan.

Beliau berkata, ramai dalam kalangan anak muda yang berpendidikan tinggi masih belum dapat pekerjaan bersesuaian dengan kelayakan akademik, mahupun kemahiran dikuasai mereka.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya kerajaan benar-benar serius untuk membangunkan ekonomi rakyat untuk tempoh lima tahun mendatang, ‘expect right job for the right man’. Perkara ini perlu diberi fokus agar kualiti sektor ekonomi di negara mampu dilestarikan sejajar hasrat kerajaan memperkasakan agenda Keluarga Malaysia,” katanya.

Selain itu, Kesavadas berkata, sepanjang tempoh pandemik Covid-19, jelas bahawa mereka yang terjejas adalah daripada golongan B40, M40 serta peniaga kecil yang rata-ratanya berdepan masalah kewangan.

Dalam pada itu, Senator Aknan Ehtook berkata, masih ramai rakyat Malaysia yang terpaksa mengharungi isu kemiskinan, lebih-lebih lagi apabila negara dilanda pandemik Covid-19 sejak Mac 2020.

Beliau mencadangkan supaya tiada sesiapa tertinggal dalam senarai kemiskinan yang dikeluarkan agensi atau jabatan kerajaan, bagi membolehkan setiap bantuan disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

“Senarai kemiskinan perlu telus, bukan disebabkan dipengaruhi mana-mana pihak (contoh, perbezaan fahaman politik). Yang miskin tetap dalam senarai kemiskinan tanpa mengira bangsa, agama dan sebagainya, ini kita jadikan realiti,” katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung Rabu. - Bernama