Kilang e-waste haram diarah tutup serta-merta

Kilang e-waste haram di Juru diarahkan berhenti operasi serta-merta oleh JAS Pulau Pinang dalam serbuan pada Isnin.
Kilang e-waste haram di Juru diarahkan berhenti operasi serta-merta oleh JAS Pulau Pinang dalam serbuan pada Isnin.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Sebuah kilang yang menjalankan aktiviti peleraian buangan elektrik dan elektronik (e-waste) secara haram diserbu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang pada Isnin.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, hasil serbuan bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) itu mendapati, premis yang terletak di Juru itu beroperasi tanpa sebarang kebenaran atau lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kilang itu menjalankan aktiviti peleraian buangan elektrik dan elektronik (e-waste) yang dikategorikan sebagai buangan terjadual di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS)1974.

"Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati, premis itu tidak mempunyai lesen daripada JAS mengikut Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan tanpa kebenaran daripada PBT," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya lagi, JAS telah mengeluarkan arahan henti operasi serta-merta kepada pihak kilang sehingga siasatan kes selesai.

"Premis juga dikenakan kompaun sebanyak RM30,000 kerana gagal mematuhi peruntukan undang-undang mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

"Selain itu, kilang itu juga akan disiasat mengikut Seksyen 18, AKAS 1974 kerana beroperasi tanpa lesen daripada JAS dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dari dua tahun atau kedua-duanya," katanya.

Sharifah Zakiah berkata, kilang itu turut disiasat mengikut Seksyen 34B, akta sama dan sekiranya disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak melebihi RM500,000.

Artikel Berkaitan:

"JAS Pulau Pinang memandang serius keperluan pematuhan segala peruntukan undang-undang berkaitan pengurusan buangan terjadual oleh semua pihak. Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang gagal mematuhi sepenuhnya peraturan dan perundangan yang sedia ada.

"Ia merupakan amaran kepada pihak lain supaya lebih berhati-hati dalam mematuhi semua peruntukan undang-undang berkaitan buangan terjadual serta tidak melupuskan buangan terjadual dengan sewenang-wenangnya ke tempat yang tidak sepatutnya.

"Sebarang kegagalan akan dikenakan tindakan perundangan yang serius tanpa sebarang kompromi," katanya.