98 peratus guru Kemas terima suntikan vaksin

Foto hiasan.
Foto hiasan.
A
A
A

KEPALA BATAS - Sebanyak 98 peratus daripada 12,619 pendidik masyarakat atau guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara telah menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat ini.

Ketua Pengarah Kemas Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, baki dua peratus lagi belum mendapatkan suntikan ekoran nasihat doktor, antaranya kerana masalah kesihatan, alahan dan mengandung.

"Buat masa ini, kita dimaklumkan tiada kes guru Kemas yang enggan menerima vaksin dan dua peratus itu kerana masalah kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Peralatan Kursus Quick Win Asnaf Berdikari anjuran Kemas Pulau Pinang, di sini pada Selasa.

Selain itu beliau berkata, pembukaan semula kelas tabika akan mengikut jadual yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan kerana ia di bawah bidang kuasa kementerian itu.

"Dari segi persiapan untuk buka semula tabika, Kemas memang bersiap sedia dan sesi pembelajaran nanti juga akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan, bagi memastikan tiada penularan wabak Covid-19," katanya.

Mohamad Yasid berkata, ketika ini Kemas mempunyai seramai 206,094 murid tabika di 10,301 kelas di seluruh negara yang membabitkan 10,802 pendidik masyarakat.

Sementara itu bagi taska pula, terdapat seramai 9,369 kanak-kanak di 544 kelas dengan 1,817 guru.

"Ada beberapa taska yang memang kita buka atas permintaan ibu bapa yang bekerja sebagai petugas barisan hadapan, jadi mereka perlu hantar anak-anak ke taska kerana perlu bekerja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai majlis itu, beliau berkata Kemas menyediakan peruntukan sebanyak RM290,000 pada tahun ini, bagi memberi bantuan peralatan dan kursus kepada 140 asnaf yang dipilih menyertai program tersebut di seluruh negara.

Katanya, menerusi program itu, peserta diberi latihan kemahiran memasak supaya mereka dapat memulakan perniagaan makanan atau minuman untuk menjana pendapatan dan seterusnya keluar daripada belenggu kemiskinan. - Bernama