Isu pindah murid: SKBM tidak selamat, berbahaya

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Najmi
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Najmi
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sekolah Kebangsaan Bukit Meriam (SKBM) dikategorikan sebagai kawasan tidak selamat dan berbahaya kepada murid dan kakitangan sekolah.

Exco Agama, Pendidikan, dan Sumber Manusia, Brigadier Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad berkata, kawasan berkenaan telah diputuskan sebagai kawasan berisiko tinggi untuk kejadian gelongsoran dan jatuhan batuan berulang.

Beliau berkata, kawasan itu dikenal pasti sebagai amat berbahaya dan tidak selamat kepada pelajar dan kakitangan sekolah seperti laporan hasil siasatan Jabatan Kerja Raya (JKR) Cawangan Kejuruteraan Cerun melalui surat bertarikh 12 Mac 2020.

"Pihak JKR Cawangan Kejuruteraan Cerun telah mencadangkan supaya sekolah itu dipindahkan ke kawasan lain yang lebih selamat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, berdasarkan rekod, terdapat kejadian runtuhan tanah dan batu besar berdekatan sekolah tersebut pada Oktober tahun lalu.

"Beberapa siri lawatan dan mesyuarat tindakan telah dibuat beberapa agensi termasuk Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Muda dan Yan sejak Februari lalu sebelum keputusan dibuat selepas mengambil kira laporan JKR dan beberapa agensi terlibat.

"Pada 12 Mac lalu, pihak JPN Kedah, PPD Kuala Muda Yan dan SKBM menerima surat ulasan dan cadangan oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR yang menyarankan supaya sekolah dipindahkan ke kawasan lain yang lebih selamat dan telah ditandatangani oleh Pengarah Cawangan Kejuruteraan Cerun Ibu Pejabat JKR Malaysia di Kuala Lumpur," jelasnya.

Beliau berkata, pihak JKR mendapati sudut kecuraman cerun berkenaan dianggarkan sekitar 70 darjah yang dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi untuk berlakunya runtuhan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, ia tidak sesuai untuk dibangunkan sebarang struktur binaan di kawasan kaki cerun tersebut tanpa melakukan sebarang pengukuhan.

Najmi berkata, pihaknya tidak akan mengabaikan keselamatan murid dan kakitangan sekolah dan keputusan perpindahan dibuat berdasarkan hasil kajian.

"Saya rasa tiada alasan lain yang lebih diutamakan berbanding isu keselamatan warga sekolah," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, perpindahan bersifat sementara di mana cadangan membina sekolah baharu di kawasan sama sedang diusahakan sebagai kemudahan penduduk.

"Namun pembinaan sekolah baharu akan mengambil masa dan kita sedang berusaha mencari tapak baharu bagi tujuan tersebut,"katanya.

Berdasarkan rekod, pada tahun 1957, bangunan sekolah terbabit telah ditimpa pokok ara, manakala pada 5 November 2017, bangunan tandas sekolah tersebut telah ditimpa pokok besar.

Sebelum ini, satu bantahan dibuat ibu bapa dan waris kerana tidak bersetuju murid SKBM dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kuala yang berjarak kira-kira lima kilometer.

Ibu bapa juga mendesak agar kerajaan mengkaji dan mempertimbangkan semula keputusan perpindahan terbabit kerana didakwa membebankan.