MyCreative lantik Junady sebagai GCEO

Junady Nawawi
Junady Nawawi
A
A
A

SHAH ALAM - MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) iaitu sebuah badan kerajaan untuk memajukan industri kreatif Malaysia mengumumkan pelantikan Junady Nawawi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO).

Pengerusi MyCreative, Noor Azmi Said berkata, pelantikan tersebut tepat pada ketika pihaknya sedang giat menjalankan beberapa siri inisiatif kerajaan.

Antaranya ialah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma) serta Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) untuk industri kreatif bagi membantu perniagaan dan penggiat industri kembali bergiat aktif, di samping mendepani cabaran pandemik ini.

“Tugas GCEO MyCreative Ventures memerlukan kemahiran pelbagai termasuk pengalaman dalam kepimpinan, kebolehan dalam menguruskan pelbagai pemegang taruh berbeza termasuk pelbagai kementerian dalam kerajaan, pemain ekosistem kreatif dan sebagainya di samping mempunyai keazaman menjadikan ekonomi jingga antara teraju baharu kepada penjanaan ekonomi negara.

“Dengan perhatian yang kini bertumpu kepada fasa pemulihan selepas pembukaan sektor ekonomi, MyCreative yakin dengan kemampuan Junady untuk menggerakkan usaha dalam fokus memacu ekonomi jingga Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, fokus itu melalui inisiatif pembangunan ekosistem yang dibentuk secara strategik, bantuan kewangan dan pelaburan yang inovatif, meningkat dan menggandakan pasaran produk kreatif di pasaran tempatan serta antarabangsa dalam usaha membantu melonjakkan prestasi ekonomi negara selepas pandemik.

“Ekonomi jingga telah diumumkan sebagai salah satu daripada sektor utama untuk mencapai aspirasi kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dengan sumbangan RM31.9 bilion kepada keluaran dalam negeri kasar sebelum tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata, Junady mempunyai pengalaman lebih dua dekad merangkumi aspek tadbir urus korporat seperti kewangan, perancangan strategik, strategi pelaburan dan penstrukturan semula selain perancangan dan pembangunan sektor awam semasa memegang jawatan dalam entiti terkemuka seperti BIMB Holdings Berhad, Rothschild Malaysia, UEM Group, Renong Berhad, Aseambankers Malaysia (kini dikenali sebagai Maybank Investment Bank) dan PriceWaterhouse Coopers (PWC).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Junady berkata, beliau berbesar hati dengan keyakinan Lembaga Pengarah MyCreative dan teruja untuk bersama bagi menambah nilai, menyumbang kepada pembangunan industri kreatif dan memastikan bakat-bakat dalam industri negara diangkat menjadi asas kepada pembangunan ekonomi Malaysia.