11 pekerja p-hailing di Selangor terlibat kemalangan maut

Anggota JPJ dilihat melakukan sekatan jalan ketika Ops Merah terhadap penunggang motosikal yang menjalankan perkhidmatan p-hailing di Lorong Motosikal Seri Setia pada Selasa. - Foto Bernama
Anggota JPJ dilihat melakukan sekatan jalan ketika Ops Merah terhadap penunggang motosikal yang menjalankan perkhidmatan p-hailing di Lorong Motosikal Seri Setia pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai 11 pekerja penghantaran makanan, minuman dan bungkusan menggunakan motosikal (p-hailing) di Selangor, terlibat dalam kemalangan maut pada lapan bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Nazli Md Taib berkata, dalam tempoh yang sama juga sebanyak 12 kes melibatkan kecederaan parah dan 65 kes cedera ringan turut dicatatkan, melibatkan pekerja sektor berkenaan.

Menurutnya, statistik yang diperoleh daripada Polis Diraja Malaysia bagi tempoh Januari hingga Ogos sebanyak 321 kes kemalangan dicatatkan melibatkan penunggang p-hailing di seluruh negara di mana 36 kes melibatkan kemalangan maut.

“Angka kemalangan ini amat membimbangkan, ditambah dengan aduan yang JPJ terima daripada orang awam melibatkan penunggang p-hailing ini, JPJ telah melancarkan operasi penguatkuasaan Operasi Merah (Op Merah) terhadap penunggang p-hailing di seluruh negara bermula Jumaat lepas hingga 7 November ini.

“Op Merah ini bertujuan mengesan penunggang p-hailing ini yang melakukan kesalahan, antaranya gagal mematuhi isyarat lampu merah, memandu melawan arus dan kesalahan berkaitan topi keledar dan kesalahan-kesalahan trafik yang lain, selain melaksanakan program advokasi terhadap penunggang p-hailing ini,” katanya kepada pemberita yang memantau Op Merah di sini pada Selasa.

Nazli (tengah) melakukan pemeriksaan ketika Ops Merah terhadap penunggang motosikal yang menjalankan perkhidmatan p-hailing di Lorong Motosikal Seri Setia pada Selasa. - Foto Bernama
Nazli (tengah) melakukan pemeriksaan ketika Ops Merah terhadap penunggang motosikal yang menjalankan perkhidmatan p-hailing di Lorong Motosikal Seri Setia pada Selasa. - Foto Bernama

Nazli berkata, seramai 51 anggota JPJ dan Polis Diraja Malaysia terlibat dalam operasi berkenaan.

Beliau berkata, sejak operasi berkenaan bermula pada Jumaat lepas, sebanyak 321 saman telah dikeluarkan JPJ Selangor, melibatkan pelbagai kesalahan dengan kesalahan tertinggi melibatkan tidak mematuhi lampu isyarat dan tiada lesen memandu yang sah.

Artikel Berkaitan:

“Antaranya kesalahan tiada lesen memandu yang tinggi menimbulkan sedikit keraguan, bagaimana proses pengambilan kerja dilakukan oleh syarikat p-hailing berkenaan.

“JPJ akan siasat perkara ini dengan lebih lanjut dan menghantar surat tunjuk sebab kepada syarikat p-hailing berkaitan perkara ini, bagaimana mereka boleh membenarkan pekerja p-hailing yang tidak mempunyai lesen yang sah melakukan penghantaran,” katanya. - Bernama