Rentas negeri: Polis Pahang jalan pemeriksaan rawak

Ramli Mohamed Yoosuf
Ramli Mohamed Yoosuf
A
A
A

KUANTAN - Jumlah kenderaan yang masuk ke negeri Pahang dijangka meningkat kira-kira 50 peratus menjelang hujung minggu ini berikutan keputusan kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri bagi individu lengkap vaksin bermula Isnin.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jangkaan itu berdasarkan peningkatan 20 hingga 30 peratus jumlah kenderaan yang masuk ke negeri ini pada hari pertama rentas negeri dibenarkan.

Menurutnya, jumlah itu dijangka terus meningkat menjelang hujung minggu ini memandangkan orang ramai mungkin mengambil peluang untuk pulang ke kampung atau bercuti sempena cuti hujung minggu.

"Polis Pahang sudah bersedia berdepan situasi itu terutama dalam memastikan kepatuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) khususnya syarat menerima vaksin lengkap bagi mereka yang merentas negeri.

"Kita meletakkan kepercayaan bahawa mereka yang masuk ke negeri ini memenuhi syarat yang telah ditetapkan termasuk berada dalam keadaan sihat dan sudah menerima vaksin lengkap.

"Pada masa sama, ada kemungkinan pihak yang tidak memenuhi syarat untuk berbuat demikian turut mengambil peluang," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Ramli berkata, Polis Pahang akan meneruskan pemantauan seperti pada fasa-fasa sebelum ini bagi memastikan tahap kepatuhan orang ramai terhadap SOP walaupun pelbagai kelonggaran telah diberikan.

"Walaupun tiada lagi sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di pintu-pintu masuk negeri ini, dalam keadaan tertentu, pihak polis akan melakukan 'snapcheck' dan pemeriksaan secara rawak bagi mengesan individu degil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tindakan akan diambil termasuk kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) terhadap pihak yang ingkar.

"Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dengan memastikan semua syarat ditetapkan dipenuhi sebelum merentas negeri," katanya.