Penemuan satu lagi mayat PATI beri petunjuk baharu

Anggota polis menunjukkan lokasi mayat keempat PATI yang terdampar di Pantai Rambah, Pontian pada Selasa.
Anggota polis menunjukkan lokasi mayat keempat PATI yang terdampar di Pantai Rambah, Pontian pada Selasa.
A
A
A

PONTIAN - [DIKEMAS KINI] Polis tidak menolak kemungkinan masih ada lagi mangsa yang lemas dalam kejadian bot karam dipercayai dinaiki sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) di persisiran Pantai Rambah.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohamad Shofee Tayib berkata, operasi masih berjalan pada Selasa di kawasan pantai di daerah ini sepanjang kira-kira 12 kilometer dengan bantuan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Kukup.

Beliau berkata, penemuan satu lagi mayat lelaki dewasa dipercayai PATI kira-kira jam 7.20 pagi Selasa di Pantai Rambah menjadi petunjuk baharu.

"Sebelum itu, tiga mayat warga asing dipercayai PATI dari Indonesia ditemui terdampar Pantai Rambah kira-kira jam 4.40 petang Isnin. Turut ditemui ialah sebuah bot laju dan enjin sangkut 200 kuasa kuda.

"Sebuah beg sandang kecil berwarna hitam ditemui terlekat pada kayu bakau berhampiran mayat di mana di dalamnya mengandungi pengenalan diri dipercayai milik salah satu mayat yang ditemui.

"Seterusnya pada jam 7.20 pagi Selasa, polis menerima makluman daripada orang awam mengenai satu lagi mayat ditemui di lokasi sama," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di sini pada Selasa.

Mohamad Shofee berkata, pemeriksaan ke atas empat mayat terbabit mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan mayat telah dihantar ke unit forensik Hospital Pontian untuk bedah siasat.

"Siasatan awal mendapati empat mayat ini dipercayai mati lemas ketika menaiki bot yang kemudiannya karam ketika dalam perjalanan untuk masuk ke Malaysia melalui jalan tidak diwartakan.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana kedudukan perairan Pontian dengan Kepulauan Riau Indonesia terutama di Karimon terlalu hampir. Difahamkan hanya mengambil masa 45 minit menggunakan bot laju," jelas beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: Bot karam, tiga lelaki warga asing ditemui lemas