Penggunaan dadah sintetik membimbangkan

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

IPOH - Peningkatan penggunaan dadah sintetik dalam kalangan generasi muda di Perak membimbangkan malah terdapat remaja dikesan terlibat dengan penggunaan dadah jenis Amphetamine Type Stimulant (ATS) seawal usia 13 tahun.

Penolong Pengarah (Penguatkuasaan dan Keselamatan) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perak, A Rueben berkata, trend penggunaan dadah ATS itu dikesan tahun lepas dengan melibatkan 68.7 peratus daripada keseluruhan 9,335 orang yang dikenal pasti terlibat dalam penyalahgunaan dadah di negeri itu tahun lepas.

Beliau berkata, jumlah 9,335 orang yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah itu sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding 8,300 orang pada 2019.

“Trend penagihan dadah di Perak mula beralih arah ke arah penyalahgunaan dadah jenis sintetik berbanding dadah jenis tradisional.

“Trend penagihan ini amat membimbangkan kerana majoriti pengguna ATS adalah dalam kalangan generasi muda berusia seawal 13 hingga 18 tahun selain belia berusia 19 hingga 39 tahun,” katanya dalam sesi temubual bersama radio PerakFM pada Selasa.

Sementara itu, Rueben berkata, terdapat 14 kawasan berisiko tinggi di lima daerah di negeri ini yang dikenal pasti mempunyai masalah dadah iaitu Ulu Kinta, Sungai Raja dan Sungai Terap di daerah Kinta, Batu Kurau dan Taiping (Larut Matang dan Selama), Parit Buntar, Bagan Serai dan Tanjung Piandang (Kerian), Durian Sebatang dan Changkat Jong (Hilir Perak) serta Pasir Salak, Kampung Gajah, Bota dan Lambor (Perak Tengah).

“Kita juga memilih kawasan Bota dan Taiping untuk kita fokuskan sebagai kawasan penghijauan. Berteraskan indikator kawasan berkenaan, terdapat pengurangan kes penagihan dadah sama ada penagih dadah baharu mahupun yang berulang pada tahun ini,” katanya.

Reuben dalam pada itu turut mengingatkan orang ramai supaya membuat aduan sekiranya terdapat aktiviti dadah di kawasan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Pengadu boleh hadir ke pejabat AADK negeri atau pejabat AADK daerah dalam tempoh waktu bekerja untuk berunding bersama pegawai AADK atau boleh membuat panggilan atau menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp kepada talian hotline AADK yang beroperasi 24 jam sehari di talian 019-6262233,” katanya. - Bernama