Permohonan Muda cabar menteri, RoS didengar 14 Disember

Syed Saddiq - Foto Bernama
Syed Saddiq - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 14 Disember ini untuk mendengar permohonan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan 12 individu untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang menolak rayuan mereka untuk mendaftar Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai sebuah parti politik.

Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Ali ketika dihubungi pemberita pada Selasa berkata, tarikh pendengaran permohonan semakan kehakiman itu ditetapkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Nur Aslamiah Jamil.

Mohammad Sallehuddin berkata, permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin.

Peguam Lim Wei Jiet mewakili Syed Saddiq dan 12 yang lain, turut mengesahkan tarikh berkenaan.

Pada 21 September lepas, Syed Saddiq serta 12 individu selaku pemohon memperoleh kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman tersebut.

Pada 24 Ogos lepas, Syed Saddiq, iaitu pengasas parti itu serta 12 individu tersebut memfailkan permohonan kebenaran yang baharu bagi mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri serta RoS yang menolak rayuan untuk mendaftarkan Muda sebagai sebuah parti politik.

Mereka menamakan Menteri Dalam Negeri dan RoS sebagai responden pertama dan kedua.

Syed Saddiq dan 12 individu itu memohon suatu deklarasi bahawa permohonan untuk mendaftarkan Muda sebagai sebuah pertubuhan di bawah kategori parti politik adalah teratur dan telah mematuhi segala keperluan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Artikel Berkaitan:

Mereka juga memohon suatu perintah mandamus untuk kedua-dua responden mendaftarkan Muda sebagai sebuah pertubuhan dalam kategori pertubuhan politik dalam masa 14 hari dari tarikh perintah.

Selain itu, suatu perintah ganti rugi teruk dan teladan yang akan dinilai, kebebasan untuk memohon serta segala relif, arahan dan perintah yang diperlukan sebagaimana difikirkan adil oleh mahkamah.

Pada 18 Ogos lepas, Muda menarik balik permohonan semakan kehakiman sebelum ini yang mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan RoS yang belum membuat keputusan terhadap rayuan Muda untuk mendaftarkan parti berkenaan atas alasan ia menjadi akademik kerana pada 12 Ogos lepas, Menteri Dalam Negeri telah membuat keputusan berhubung rayuan itu dengan menolak permohonan tersebut. - Bernama