The Grand Renai sumbang 30 set sofa kepada YIK

Amer (kanan) dan Shamsul (kiri) turut membantu menguruskan perpindahan sofa terpakai sumbangan Hotel The Grand Renai, Kota Bharu pada Selasa.
Amer (kanan) dan Shamsul (kiri) turut membantu menguruskan perpindahan sofa terpakai sumbangan Hotel The Grand Renai, Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 30 set sofa terpakai bernilai hampir RM20,000 dari Hotel The Grand Renai diserahkan kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) untuk diagihkan kepada sekolah-sekolah yang berada di bawah badan berkenaan.

Pengurus Besar Hotel The Grand Renai, Amer Ahmad berkata, ia merupakan salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) hotel tersebut tahun ini.

"Sebanyak 30 sofa terpakai yang sebelum ini diguna pakai sebagai sebahagian daripada dekorasi di dalam bilik hotel ini akan disumbangkan untuk kegunaan sekolah tahfiz di bawah seliaan YIK.

"Program ini dibuat selaras dengan seruan kempen daripada kerajaan Persekutuan iaitu mengurangkan pembaziran dan mengguna semula barang terpakai bagi tujuan kitar semula.

"Sofa ini adalah sofa terpakai yang masih elok untuk digunakan, dan harapan kami dengan adanya sumbangan yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak memberi manfaat kepada semua yang terlibat," katanya.

Amer sebelum itu menerima kunjungan Timbalan Pengarah Pengurusan YIK, Shamsul Abu Bakar untuk menerima sumbangan berkenaan di Hotel The Grand Renai, di sini.

Hadir sama, Pengarah Jualan dan Pemasaran The Grand Renai, Raja Rusmin Raja Mahmud.

Mengulas lanjut, Amer berkata, pengurusan hotel pada masa ini dalam proses penambahbaikan bilik-bilik penginapan yang melibatkan beberapa fasa bagi memastikan produk yang ditawarkan memenuhi permintaan semasa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mereka juga ingin mengubah stigma masyarakat yang meletak jurang yang tinggi antara hotel dan masyarakat sedangkan kerjasama kedua-dua pihak sangat penting dalam meningkatkan ekonomi dan pembangunan industri perhotelan dalam negara.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai persediaan menyambut kedatangan pelancong sempena kebenaran rentas negeri, Amer berkata, pihaknya telah bersedia sejak beberapa bulan yang lalu dan ia sudah berada di peringkat akhir.

"Kami sentiasa bersedia. Bila pertukaran fasa demi fasa berlaku, maka kami buat persediaan awal untuk aktiviti rentas ini.

"Apa yang penting, tetamu kita perlu patuh pada syarat-syarat perjalanan yang Majlis Keselamatan Negara (MKN) keluarkan, termasuklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan setiap hotel," katanya.