Neelofa baik pulih 21 surau Kelantan

Shafien (duduk di tengah) mengecat Pondok Polis Pasar Jelawat, Bachok yang terbakar dalam kejadian pada September lalu.
Foto: Ihsan PDRM
Shafien (duduk di tengah) mengecat Pondok Polis Pasar Jelawat, Bachok yang terbakar dalam kejadian pada September lalu. Foto: Ihsan PDRM
A
A
A

BACHOK - Selebriti, Neelofa memperuntukkan kos keseluruhan sebanyak RM500,000 menerusi Pertubuhan Kasih Neelofa bagi membaik pulih 21 surau di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kasih Neelofa, Noor Razlina Noor Mohamed berkata, surau-surau terpilih adalah di daerah Pasir Mas, Kota Bharu dan Bachok.

Beliau berkata, setiap surau diperuntukkan sebanyak RM15,000 hingga RM30,000 bergantung kepada kerosakan dan kos yang diperlukan untuk dibaiki.

“Peruntukan kerja-kerja membaiki surau rosak itu bertujuan memberi kemudahan kepada penduduk setempat untuk menunaikan ibadah di surau berdekatan tempat tinggal masing-masing.

“Surau yang hendak dibaik pulih ketika ini berada dalam keadaan daif, manakala surau akan dibina bagi yang sudah rosak 100 peratus,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok di sini pada Selasa.

Beliau sebelum itu menyampaikan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat bagi membaiki Pondok Polis Pasar Jelawat yang rosak akibat dibakar seorang lelaki bermotosikal pada September lalu.

Noor Razlina (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Shafien sambil diperhatikan Mohamad Ismail (kiri) di IPD Bachok pada Selasa. - Foto: SINAR HARIAN
Noor Razlina (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Shafien sambil diperhatikan Mohamad Ismail (kiri) di IPD Bachok pada Selasa. - Foto: SINAR HARIAN

Hadir sama ialah Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Noor Razlina berkata, selain Kelantan, pihaknya turut membaik pulih surau di negeri-negeri lain termasuk Sabah.

“Kita juga menyampaikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan seperti polis sebagai tanda penghargaan kerana banyak membantu masyarakat.

“Kami menghargai jasa polis yang bertugas demi rakyat terutama dalam mencegah penularan Covid-19," ujarnya.