Sampah haram di Kampung Belimbing Dalam

Antara lokasi pembuangan sampah haram yang berlaku di Kampung Belimbing Dalam.
Antara lokasi pembuangan sampah haram yang berlaku di Kampung Belimbing Dalam.
A
A
A

ALOR GAJAH - Busuk, kotor dan menjijikan! Itu antara aktiviti pembuangan sampah haram yang berlaku di kawasan tanah terbiar di Kampung Belimbing Dalam.

Tinjauan di kawasan itu mendapati bukan sahaja sampah basah dan kering seperti botol plastik dan ranting kayu malah terdapat juga kulit binatang dan tulang binatang dipercayai kerbau sepah di merata tempat hingga mengundang bau meloyakan.

ADUN Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Wahab, berkata, beliau kesal dan terkilan apabila kawasan tanah lapang dan tanah terbiar dalam DUN berkenaan sering menjadi lokasi pembuangan sampah haram.

Menurutnya, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kawasan berkenaan digesa memantau aktiviti tidak sihat ini yang dikhuatiri akan menjejaskan kawasan penduduk berdekatan.

Katanya, dalam masa sama akan berbincang dengan MPKK dan pihak terbabit untuk menyediakan tempat-tempat pembuangan sampah yangg sesuai dan sistematik termasuk penyediaan tong-tong sampah besar di samping sampah perlu dikutip oleh pihak berkenaan.

"Orang ramai digesa supaya tidak membuang sampah merata-rata kerana ini melambangkan tahap kesedaran kebersihan yang rendah.

"Tindakan seperti ini bukan sahaja melambangkan tahap kesedaran sivik yang rendah malah mencacatkan pemandangan dan mencemarkan nama baik kampung dan negeri kita," katanya.

Mohd Sofi yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri berkata, penduduk kampung juga diharap agar lebih sensitif dengan gejala pembuangan sampah haram dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika berlaku apa-apa aktiviti yang dilihat menyalahi undang-undang.

Artikel Berkaitan:

"Saya bimbang sekiranya pembuangan sampah haram terus berlaku bukan hanya akan mencemarkan persekitaran dan sungai berdekatan bahkan wabak penyakit boleh tersebar," katanya.