Perpaduan ummah demi survival Islam: Pas Johor

Abdullah ketika menyampaikan ucapan semasa Ceramah Umum Bantah ICERD di Felda Ulu Tebrau, semalam.
A
A

JOHOR BAHRU - Perpaduan umat Islam tetap diteruskan meskipun berbeza ideologi termasuklah politik bagi mengorak langkah demi survial Islam.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, hak orang Melayu beragama Islam dan asas pembinaan negara juga akan terus dipertahankan.

"Kita mengingatkan balik asas yang dipersetujui bersama.

"Yang mana kita lihat bagaimana Perdana Menteri yang terdahulu termasuklah Datuk Seri (Mohd) Najib Razak, Tun Abdullah (Ahmad) Badwi dan sebelum itu daripada awal, tidak tergamak membuat apa yang dibuat apa yang ada sekarang ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum Bantah ICERD di Felda Ulu Tebrau, semalam.

Abdullah turut menyindir Kerajaan PH yang disifatkan gagal menunaikan segala manifesto yang dijanjikan pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

"Sepatutnya menunaikan manifesto-manifesto, (tetapi) manifesto bukan kitab suci. Apa boleh buat, hutang banyak. Dulu lama-lama dulu, ingat tak 'Melayu mudah lupa'.

"Kita nak beritahu pada malam ini, Melayu di Felda Ulu Tebrau, Melayu di kawasan Tebrau tidak lupa. Yang lupa yang bercakap 'Melayu mudah lupa'," katanya.

Bekas Adun Puteri Wangsa itu turut menyentuh Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang mana menyebut Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

"Tiba-tiba hari ini, nak dirobek. Dengan kontrak sosial, konsep Jus Soli dan sebagainya, tiba-tiba nak dirobek, apakah kita nak membenarkan ini berlaku?

"Tidak sesekali. Sebab itulah kita mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan, kita mempertahankan hak ketuanan Melayu," katanya.

Dalam ucapan sama, Abdullah turut melabelkan seorang menteri muda sebagai buta sejarah di atas kenyataannya bahawa berakhirnya zaman Ketuanan Melayu beberapa bulan lalu.

"Jadi inilah nasib kita, sebab itu kita mempertahankan kedaulatan raja-raja dan segala aspek yang telah menjadi asas negara kita.

"Kalau siapa yang cuba merobek, kita akan halang. Kita akan tentang habis-habisan," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia