Lebih 50,000 kenderaan dijangka masuk Kelantan

Lebih 50,000 kenderaan perantau dan pelancong domestik dijangka merentas negeri masuk ke Kelantan menjelang hujung minggu ini. Foto Bernama
Lebih 50,000 kenderaan perantau dan pelancong domestik dijangka merentas negeri masuk ke Kelantan menjelang hujung minggu ini. Foto Bernama
A
A
A

BACHOK - Lebih 50,000 kenderaan perantau dan pelancong domestik dijangka merentas negeri masuk ke Kelantan menjelang hujung minggu ini.

Angka tersebut meningkat berbanding hanya sekitar 11,000 kenderaan yang masuk ke negeri ini sebelum pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 awal tahun ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, jumlah peningkatan kenderaan masuk ke Kelantan itu berlaku secara mendadak bermula pada jam 12.01 pagi, Isnin susulan kebenaran rentas negeri oleh kerajaan.

“Hari pertama semalam pun sudah mencatatkan kira-kira 20 peratus peningkatan kenderaan yang masuk Kelantan.

“Jadi, jumlah itu dijangka akan melebihi tiga kali ganda menjelang hujung minggu ini dengan perantau yang pulang ke kampung halaman dan pelancong domestik yang bercuti di negeri ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pasar Jelawat, di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Program Masyarakat Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di pasar berkenaan.

Shafien (kanan) menunjukkan kad vaksinasi peniaga di Pasar Jelawat, Bachok.
Shafien (kanan) menunjukkan kad vaksinasi peniaga di Pasar Jelawat, Bachok.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat Abdul Aziz Kadir.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, hasil pemeriksaan di empat sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri iaitu dua di Gua Musang, Pasir Puteh dan Jeli mendapati mereka mematuhi arahan kerajaan iaitu lengkap dua dos vaksin Covid-19.

“Selain SJR, 154 pasukan pemantauan polis ditubuhkan sebagai persediaan menerima kemasukan masyarakat dari luar Kelantan dan memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di tempat-tempat awam serta lokasi pelancongan.

“Saya menasihatkan rakyat Kelantan, perantau yang sudah sampai dan mereka yang bakal pulang ke kampung supaya terus mematuhi SOP bagi mengekang penularan Covid-19, memandangkan kes harian di negeri ini masih lagi tinggi,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar SOP bagi mengekang penularan Covid-19.

Pada perkembangan lain, Shafien berkata, pondok polis Jelawat yang dibakar oleh seorang lelaki bermotosikal pada 11 September lalu kini dibaiki oleh pihak polis secara bergotong-royong bersama masyarakat setempat.

“Usaha tersebut menunjukkan bahawa rakyat di kawasan ini memerlukan pondok polis Jelawat kerana kawasan itu adalah tumpuan orang ramai,” katanya.