Dr Mahathir tiba di Manila untuk lawatan tiga hari

Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad diiringi oleh Ketua Umum Leftenan Jeneral Rozzano D. Briguez ketika tiba di Bulwagang Kalayaan, Villamor Air Base malam ini. Foto: Bernama
A
A

MANILA - FILIPINA. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba di Manila hari ini untuk lawatan tiga hari ke Filipina.

Beliau tiba di Pangkalan Udara Bulwagang Kalayaan Villamor pada pukul 7.50 malam (waktu tempatan) dan disambut oleh Setiausaha Teknologi dan Maklumat Filipina, Eliseo M Rio.

Turut hadir untuk menyambut ketibaan perdana menteri ialah Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah, Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Manila, Rizany Irwan Muhamad Mazlan dan lain-lain pegawai tinggi Malaysia.

Esok, Tun Dr Mahathir dijadual untuk menyampaikan ucap utama sempena pertemuan beliau dengan pemimpin industri di Filipina di Forum Perniagaan Malaysia-Filipina sebelum bertemu bekas presiden dan Yang Dipertua Dewan Perwakilan Filipina Gloria Macapagal Arroyo diikuti dengan satu perjumpaan dengan Penasihat Presiden mengenai Keusahawanan dan Perniagaan ASEAN, Jose Ma Concepcion III.

Tun Dr Mahathir juga akan menghadiri upacara meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan Rizal, di sini sebelum menghadiri upacara acara sambutan tetamu kehormat negara di Istana Malacanang. Dr Mahathir juga akan menghadiri mesyuarat bersama Presiden Filipina Rodrigo Duterte di Istana Malacanang dan satu kenyataan bersama akan dikeluarkan oleh kedua-dua pemimpin selepas pertemuan berkenaan.

Perdana menteri juga dijadualkan berjumpa dengan rakyat dan penuntut Malaysia di Manila pada hari terakhir lawatan sebelum berlepas ke Kuala Lumpur.

Selain Saifuddin, turut mengiringi Tun Dr Mahathir dalam lawatan ini ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking. -Bernama