'Saya pun nak belajar, beri mak saya RM1 bilion': Mat Sabu

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Isu laporan ‘Pandora Papers’ menghangatkan kembali Dewan Rakyat pada Selasa apabila Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) secara sinis mencelah mengatakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘cemburu’ kerana mahu isu tersebut dibahaskan di Parlimen.

Mohamad berkata, beliau juga mahu ‘belajar’ bagaimana cara untuk memperoleh wang yang banyak.

“Port Dickson janganlah rasa cemburu, kita nak belajar macam mana nak cari duit, saya ahli Parlimen tak ada duit berjuta, saya tengok ada menteri yang ada RM900 juta dalam bank, RM2 juta wang poket.

“Saya nak belajar macam mana nak cari duit tu. Port Dickson ni cemburu sangat kenapa?

“Bekas menteri bagi mak dia RM1 bilion, saya nak beri kat mak saya banyak mana?

Ini yang saya cemburu, saya nak belajar,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau bangkit mencelah ketika Anwar sedang membangkitkan usul membahasakan isu ‘Pandora Papers’ yang ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada Isnin, dan mahu usul tersebut disetujukan pada Selasa, hari terakhir sidang Dewan Rakyat bagi sesi ini.

Berikutan kenyataan sarkastik dibuat oleh Mohamad, Anwar membalas dengan menasihatkan Mohamad agar tidak meneruskan hasrat untuk ‘mempelajarinya’.

Artikel Berkaitan:

“Mesti ada kepakaran, kecanggihan, keterampilan dan kepintaran untuk membuat rompakan cara canggih begini.

Orang yang melalui proses ini memang ada kepakaran tertentu, peguam dan akauntan hebat.

“Saya nasihat sahabat saya jangan belajar hal ini kerana kesannya orang Islam kita merempat, orang Melayu akan susah, negara akan muflis hancur,”katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu sebelum itu mempersoalkan pemimpin kerajaan yang tidak bersuara mengenai perkara tersebut.

“Saya minta supaya diberikan ruang kita sampaikan dan kerajaan beri jaminan agar semua agensi ini siasat bukan untuk dihukum.

“Saya belum dengar satu suara yang minta perkara ini disiasat, bukan menghukum,”katanya.

Pendedahan laporan Pandora Papers dilaporkan media sebelum ini menyaksikan ratusan pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah dilapor menyembunyikan wang dan pelaburan mereka dalam hartanah, kapal persiaran dan aset lain, sepanjang 25 tahun lepas.

Ini didedahkan menerusi 12 juta fail yang dimiliki 14 firma di serata dunia.

Berdasarkan pendedahan itu, dua individu daripada Malaysia didakwa antara 336 ahli politik yang memiliki akaun luar pesisir dan terdapat 118 syarikat luar pesisir dengan pemiliknya berasal dari Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN:Hapus keraguan Pandora Papers

ARTIKEL BERKAITAN:Kerajaan digesa tubuh RCI siasat isu Pandora Papers

ARTIKEL BERKAITAN:Pandora Papers dedah dua ahli politik Malaysia miliki akaun luar pesisir