'Asing Sampah, Menang Duit'

KDEBWM dan Sinar Harian bekerjasama menganjurkan Peraduan TikTok Challenge KDEBWM dengan mesej ‘Asing Sampah, Menang Duit’ bagi mendidik masyarakat tentang kepentingan amalan pengasingan sampah.
KDEBWM dan Sinar Harian bekerjasama menganjurkan Peraduan TikTok Challenge KDEBWM dengan mesej ‘Asing Sampah, Menang Duit’ bagi mendidik masyarakat tentang kepentingan amalan pengasingan sampah.
A
A
A

BUDAYA pengasingan sampah dalam kalangan masyarakat di Malaysia masih berada pada tahap rendah berbanding kebanyakan negara maju lain yang memanfaatkan sisa buangan mereka bagi tujuan kitar semula.

Sebahagian besar rakyat negara ini masih mengambil mudah tentang budaya pengasingan sampah yang mampu membantu dalam memelihara alam sekitar di samping menjimatkan sumber sedia ada.

Tidak dinafikan, budaya ini sukar untuk diimplementasikan tanpa mendapat penglibatan daripada seluruh lapisan masyarakat dalam memainkan peranan masing-masing dalam melaksanakan amalan pengasingan sampah ini.

Atas sebab itu, KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Sinar Harian bekerjasama menganjurkan Peraduan TikTok Challenge KDEBWM dengan mesej ‘Asing Sampah, Menang Duit’ bagi mendidik masyarakat tentang kepentingan amalan pengasingan sampah.

Ketua Media dan Perhubungan Awam KDEBWM, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, sebagai operator pengurusan sampah yang beroperasi di Selangor sejak tahun 2016, aspek pendidikan dalam kalangan masyarakat berkaitan pengasingan sampah sememangnya menjadi antara fokus dan matlamat utama mereka.

Mahfuzah. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Mahfuzah. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

“Sebenarnya urusan sisa pepejal ini bukan tanggungjawab operator pengurusan sampah sahaja namun kami memerlukan kerjasama seluruh masyarakat.

“Disebabkan itu, KDEBWM tampil bersama Sinar Harian melalui peraduan ini bagi memberi pendedahan tentang amalan kitar semula menerusi budaya pengasingan sampah ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Platform TikTok menjadi pilihan bagi penganjuran peraduan kerana ia merupakan salah satu pendekatan yang diambil pihaknya bagi memberi kesedaran kepada masyarakat dengan menyelitkan elemen hiburan dan pendidikan dalam satu medium.

“Seperti semua tahu, aplikasi digital seperti TikTok ini sememangnya digemari oleh golongan muda pada masa kini dan sebab itulah ia menjadi pilihan kami bagi penganjuran peraduan ini.

“Kita mahu golongan muda ini turut terdedah dengan kepentingan budaya pengasingan sampah dan kitar semula yang merupakan satu agenda besar untuk dilaksanakan,” katanya.

Peraduan TikTok Challenge KDEBWM terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia dan akan berlangsung selama sebulan bermula pada 15 Oktober hingga 15 November depan.

Peserta terlibat perlu menghasilkan video berdurasi satu minit tentang caracara pengurusan sampah yang betul mengikut penyampaian kreativiti masingmasing dan memuat naik di laman TikTok atau Instagram masing-masing.

“Peserta juga perlu tag laman rasmi KDEBWM dan Sinar Harian pada video yang dimuat naik itu bersama dengan hashtag #fyp #RecycleChallange #SinarHarian #KDEBwasteRecycle.

“Kandungan video juga seharusnya berupaya mendidik masyarakat. Pemenang dinilai dari segi kriteria-kriteria itu oleh panel khas yang dipilih,” katanya.

Hadiah menarik

RM2,000 bakal diraih pemenang utama Peraduan TikTok Challenge KDEBWM: ‘Asing Sampah, Menang Duit’. Manakala pemenang tempat kedua pula bakal membawa pulang wang tunai bernilai RM1,500 sementara 10 pemenang sagu hati akan menerima wang tunai bernilai RM250.

Dengan tawaran berbaloi itu, diharap mampu menarik lebih banyak penyertaan daripada masyarakat khususnya golongan muda untuk sama-sama menyertai peraduan ini.

Menurut Mahfuzah, jalinan kerjasama dengan Sinar Harian terlaksana berikutan akhbar berkenaan sememangnya amat sinonim dengan komuniti dan mempunyai pengaruh pembaca tersendiri.

Katanya, peluang itu sekali gus dapat digunakan KDEBWM bagi menyampaikan mesej kepada masyarakat khususnya dalam aspek pengurusan sampah dan kitar semula.

“KDEBWM telah bekerjasama dalam pelbagai program bersama Sinar Harian sejak tahun 2016 dan kami yakin untuk meneruskan kerjasama dalam peraduan kali ini,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar peraduan yang julung kali dilaksanakan itu akan mendapat sambutan menggalakkan di samping berjaya mencapai matlamat yang dikehendaki.

Tambahnya, menerusi peraduan berkenaan, KDEBWM juga cuba menonjolkan kepada penduduk di negara ini bahawa kadar budaya pengasingan sampah dalam kalangan masyarakat masih amat rendah dan jauh ketinggalan.

“Sekarang kita cuba untuk menerapkan agenda besar ini agar ia menjadi satu budaya dan didedahkan kepada masyarakat bermula di peringkat anak-anak kecil lagi.

“Saya harap mereka di luar sana dapat menggunakan peluang untuk menyertai peraduan ini sebagai salah satu inisiatif dalam memberi kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat umum,” katanya.