Mayat lelaki ditemukan terapung

Mayat seorang lelaki ditemukan terapung oleh orang awam di perairan Selat Che Mat Zin, Klang, petang Isnin. - Foto ihsan Maritim Selangor
Mayat seorang lelaki ditemukan terapung oleh orang awam di perairan Selat Che Mat Zin, Klang, petang Isnin. - Foto ihsan Maritim Selangor
A
A
A

SHAH ALAM - Mayat seorang lelaki ditemukan terapung oleh orang awam di perairan Selat Che Mat Zin, Klang, petang Isnin.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata ia dipercayai mayat Hasmudin anak Omar, 24, lelaki itu yang dilaporkan terjatuh ke laut semasa dalam perjalanan balik ke Pulau Carey, Klang, dekat sini Ahad lepas.

Katanya, sejurus selepas pihak berkuasa menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu pada jam 2.40 petang, Pasukan Polis Marin (PPM) terus bergegas ke lokasi untuk menyiasat.

"Mayat kemudiannya dibawa ke Jeti PPM bagi proses pengecaman oleh ahli keluarga dan diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, dekat sini bagi tindakan lanjut.

"Berdasarkan pengecaman awal oleh ahli keluarga, ia dipercayai mayat Hasmudin, lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut kira-kira 0.1 batu nautika selatan Selat Mahang, Pulau Che Mat Zin pada 10 Oktober lepas," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Rosli berkata, operasi mencari dan menyelamat yang diselaras Maritim Malaysia menggunakan lima bot dan satu pesawat udara dari pelbagai agensi termasuk PPM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan dibantu komuniti nelayan tempatan ditamatkan pada jam 5.15 petang semalam.

"Maritim Malaysia meminta orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah mahupun kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-321760627 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam jika berlaku sebarang kecemasan di perairan Selangor. - Bernama

Artikel Berkaitan: