Maut terlanggar lelaki mabuk

Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di KM375.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, pagi Selasa.
Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di KM375.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, pagi Selasa.
A
A
A

SLIM RIVER - Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar seorang lelaki mabuk dalam kejadian kemalangan di KM375.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kejadian kira-kira jam 6.15 pagi itu menyebabkan lelaki berusia 50-an yang menunggang motosikal jenis Keeway dari Teluk Intan menuju ke Selayang maut di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berlaku selepas penunggang motosikal yang melalui lorong kecemasan terlanggar seorang pejalan kaki disyaki mabuk di lokasi kejadian.

"Kemalangan menyebabkan mangsa terjatuh di lorong kecemasan dan terbabas ke lorong kiri. Mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Slim River (HSR).

"Pejalan kaki yang mengalami kecederaan telah dibawa ke HSR untuk menerima rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sulizmie Affendy berkata, pihak polis sedang menyiasat butiran lanjut mengenai pejalan kaki tersebut.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke HSR untuk pengesanan Covid-19 sebelum dibedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.

Artikel Berkaitan: