10 Menteri Pertahanan ASEAN bincang isu AUKUS bulan depan

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 10 Menteri Pertahanan ASEAN akan bersemuka pada November ini bagi membincangkan langkah berhubung pakatan keselamatan tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) atau dikenali sebagai AUKUS.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, persefahaman atau solidariti dalam kalangan negara ASEAN mampu memastikan rantau ini dapat berdepan dengan kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat (AS).

Menurutnya, solidariti ASEAN amat penting kerana semua sedia maklum bahawa tiada negara di rantau ini yang mampu berhadapan dengan kuasa besar tersebut sekiranya berlaku konflik.

Katanya, ASEAN ketika ini berada dalam posisi strategik dan disebabkan itu persefahaman di ASEAN akan membantu Malaysia berdepan dengan kedua-dua kuasa besar berkenaan.

"Kekuatan ketenteraan kita terhadap AS dan China memang tidak akan ke mana tetapi 10 negara dalam satu rantau cukup strategik untuk China dan AS.

"Penting untuk kita berdepan dengan kuasa ini secara dekat tetapi solidariti ASEAN tidak boleh berpecah. Sebab itu, apabila ditanya apa 'end game' ASEAN, ia bergantung kepada mesyuarat bulan depan,” katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) yang bertanya mengenai pendirian sebenar Malaysia dalam menangani isu AUKUS serta konflik yang mungkin timbul.

Beliau menegaskan, walaupun Malaysia mempunyai hubungan mesra dengan kebanyakan negara termasuk kuasa besar namun kerajaan tidak akan membiarkan kedaulatan negara tercemar atau berada dalam keadaan berisiko.

Artikel Berkaitan:

Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) sebelum itu meminta kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan menyatakan pendirian terkini berkaitan AUKUS.

Hishammuddin berkata, beliau telah menyuarakan pandangan dan kegusaran Malaysia kepada Utusan Khas dan Menteri Pertahanan Australia tentang potensi konflik yang mungkin timbul akibat penubuhan pakatan berkenaan.

“Dalam kedua-dua perbincangan ini, saya telah menegaskan bahawa Malaysia tidak mahu diheret dalam geopolitik pertimbangan kuasa-kuasa besar. Saya juga tekankan, sebagai sebuah negara ASEAN, Malaysia memegang prinsip untuk mengekalkan ASEAN sebagai zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).

“Australia harus hormati prinsip ini dan hormati pendirian Malaysia terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan Malaysia termasuk di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).