Banjir: Cadangan naik taraf aras LPT1 sedang diteliti

Kerajaan sedang meneliti cadangan LLM untuk menaik taraf aras beberapa lokasi di LPT1 sebagai tindakan jangka masa panjang menyelesaikan masalah banjir di lebuh raya itu.
Kerajaan sedang meneliti cadangan LLM untuk menaik taraf aras beberapa lokasi di LPT1 sebagai tindakan jangka masa panjang menyelesaikan masalah banjir di lebuh raya itu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang meneliti cadangan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk menaik taraf aras beberapa lokasi di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) sebagai tindakan jangka masa panjang menyelesaikan masalah banjir di lebuh raya itu.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penelitian dibuat dari segi kaedah pelaksanaan yang terbaik dengan mengambil kira semua aspek termasuk teknikal dan kewangan.

“LLM telah mengemukakan laporan terperinci dan memohon peruntukan dalam Rolling Plan kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi cadangan naik taraf aras LPT1 di beberapa lokasi yang ditenggelami banjir seperti di kilometer (KM) 84.6 hingga KM 84.7, KM 113, KM 115 dan KM 126.3,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir (PH-Temerloh) mengenai tindakan kerajaan supaya kejadian lebuh raya penting bagi hubungan ke pantai timur tidak terputus berhari-hari akibat banjir.

Fadillah berkata, beberapa tindakan jangka pendek telah dilaksanakan akibat banjir pada Januari lepas iaitu pengurusan trafik berterusan sepanjang tempoh banjir bagi memastikan maklumat dapat disampaikan dengan betul kepada pengguna.

Selain itu, kerja pembersihan segala kekotoran di atas jalan raya dilakukan sejurus air surut sebelum laluan dibuka sepenuhnya bagi memastikan keselamatan pengguna dan kelancaran perjalanan serta menggunakan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) bagi memantau keadaan kawasan tadahan yang berhampiran dengan lebuh raya.

Beliau memberitahu bahawa faktor perubahan cuaca dan pembangunan di sekitar kawasan tadahan boleh menyumbang kepada peningkatan banjir.

Katanya, aras air semasa banjir awal tahun ini melebihi aras Average Recurrence Interval (ARI) 100 tahun berdasarkan keputusan analisis menggunakan kaedah 2D River Modelling yang dilakukan dan ia berlaku berkemungkinan disebabkan perubahan guna tanah, pengurangan kapasiti sungai dan perubahan iklim dunia.

Artikel Berkaitan:

Bencana banjir pada Januari lepas menjejaskan beberapa daerah di Pahang sehingga mengakibatkan banyak kawasan dinaiki air termasuklah LPT 1 yang terputus hubungan.

Laluan di LPT 1 yang telah terjejas disebabkan banjir adalah di KM 84.7, KM 113.4, KM 115, KM 126.4 dan KM 198.9 yang terpaksa ditutup secara berperingkat kepada lalu lintas antara 3 Jan hingga 10 Jan lepas kerana dinaiki air sedalam 750 mm hingga 1800 mm dari aras jalan.

Fadillah juga berkata, kerajaan melakukan kajian berterusan dan telah berbincang dengan syarikat konsesi LPT1 bagi mencari penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang dalam mengadaptasi kepada keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini. - Bernama