Jerman perlu perbaiki kelemahan

Pemain Jerman, Florian Wirtz (kanan) cuba melepasi asakan pertahanan Macedonia Utara, Stefan Askovski pada aksi kelayakan berkenaan. - Foto EPA
Pemain Jerman, Florian Wirtz (kanan) cuba melepasi asakan pertahanan Macedonia Utara, Stefan Askovski pada aksi kelayakan berkenaan. - Foto EPA
A
A
A

BIARPUN telah mengesahkan slot beraksi di Piala Dunia 2022, namun skuad Jerman masih perlu memperbaiki banyak perkara khususnya kepincangan dalam pasukan ketika ini.

Menurut pemain tengah skuad Die Mannschaft itu, Leon Goretzka, skuad kendalian Hansi Flick itu perlu memastikan kesilapan berkenaan tidak berulang lagi selepas ini.

Malah katanya, menerusi kaedah berkenaan, diharapkan ia dapat memastikan skuad benar-benar mantap ketika beraksi di Piala Dunia 2022.

“Sejak kebelakangan ini, masih banyak kesilapan yang dapat dikesan dan kebanyakannya (kesalahan), masih terus berlaku dalam pasukan.

“Oleh itu, sebagai sebuah pasukan, kami perlu terus bekerja keras dan merancang strategi terbaik buat pasukan Jerman dalam usaha bagi memastikan kemenangan pasukan,” katanya.

Jerman, juara empat kali Piala Dunia muncul selaku pasukan pertama dari benua Eropah yang mengesahkan slot ke Piala Dunia 2022 setelah membenam Macedonia Utara 4-0, pada Selasa.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Die Mannscaft itu mengukuhkan lagi kedudukan selaku pendahulu Kumpulan J dengan 21 mata hasil tujuh kemenangan daripada lapan perlawanan.

Dengan hanya berbaki dua perlawanan untuk ditamatkan, Jerman dilihat sudah boleh mencongak strategi bagi menebus kegagalan tersingkir pada pusingan pertama Piala Dunia 2018 termasuk tersingkir pada pusingan 16 Euro 2020, Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu penyerang, Kai Harvertz menegaskan kesemua pemain kini perlu memiliki mentaliti untuk menang pada setiap perlawanan yang diharungi selepas ini termasuk bagi aksi-aksi persahabatan.

Katanya, hanya dengan cara itu dapat memastikan momentum kemenangan skuad Die Mannschaft itu berterusan sehingga ke saingan Piala Dunia 2022 di Qatar kelak.

“Bila anda beraksi untuk Jerman, segalanya adalah mengenai kejayaan; memenangi piala dan mencapai tahap kemuncak dalam permainan.

“Oleh itu, kami perlu sampai ke Piala Dunia dengan keadaan seperti ini dan untuk itu memang memerlukan kerja keras selain persediaan yang mencukupi,” katanya.