Kes basikal lajak: Pihak pendakwaan fail notis rayuan

Muhammad Syafiq (dua dari kanan) ditemui selepas memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan seorang jurujual berkaitan kes basikal lajak empat tahun lalu di kaunter Mahkamah Majistret/Sesyen Johor Bahru pada Selasa.
Muhammad Syafiq (dua dari kanan) ditemui selepas memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan seorang jurujual berkaitan kes basikal lajak empat tahun lalu di kaunter Mahkamah Majistret/Sesyen Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pihak pendakwaan pada Selasa memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan seorang jurujual daripada pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, empat tahun lalu.

Rayuan berkenaan difailkan Penolong Pegawai Undang-undang Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Nurrul Azrina Arza dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali, di kaunter Mahkamah Majistret/Sesyen Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada jam 9.15 pagi.

Muhammad Syafiq memberitahu, rayuan berkenaan difailkan susulan arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun pada Isnin.

"Selepas ini, proses penyemakan rekod rayuan dan keterangan tertuduh pada peringkat pembelaan akan dibuat sebelum kita memfailkan petisyen rayuan.

"Mahkamah Tinggi kemudian akan menetapkan tarikh perbicaraan rayuan yang dibuat," katanya ketika ditemui selepas memfailkan notis rayuan berkenaan pada Isnin.

Hadir sama memfailkan notis rayuan berkenaan ialah Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan dan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Superintendan Mohd Yusof Mohd Ali.

Pada Isnin media melaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan rayuan berhubung pembebasan seorang jurujual daripada pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak empat tahun lepas.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dilaporkan berkata, AGC akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Johor Bahru kepada Mahkamah Tinggi sama ada Isnin atau Selasa.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu pada Ahad, Mahkamah Majistret Johor Bahru dilaporkan membebas dan melepaskan Sam Ke Ting, 26, daripada pertuduhan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian lapan remaja di Jalan Lingkaran Dalam pada 3.20 pagi, 18 Februari 2017.

Majistret Siti Hajar Ali membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap Ke Ting sekali gus memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu dengan lesen memandunya yang digantung, diperintahkan dipulangkan serta-merta.

Dalam penghakimannya, Siti Hajar berkata, mahkamah berpendapat keterangan tertuduh bahawa dia tidak mengetahui terdapat aktiviti basikal lajak di kawasan itu adalah munasabah.

Siti Hajar berkata, keterangan Ke Ting bahawa dia berada di lorong paling kiri lokasi kejadian di Jalan Lingkaran Dalam juga bertepatan dengan hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), yang mendapati kenderaan tertuduh sama ada dipandu pada kelajuan 44.5 kilometer atau 75.8 kilometer sejam.

Pada 18 Februari lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan tertuduh membela diri selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya serta mengetepikan perintah Mahkamah Majistret pada 28 Oktober 2019, yang membebas dan melepaskannya daripada pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan.

Ke Ting yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa memandu kereta secara melulu atau berbahaya di Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal lajak pada 3.20 pagi 18 Februari 2017.

Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Jurujual itu didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda, selain lesen memandu digantung, sekiranya disabit kesalahan

ARTIKEL BERKAITAN:Kes basikal lajak: Jurujual wanita dibebas, dilepaskan