Sektor pelancongan kesihatan Malaysia susun persiapan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tidak dapat disangkal penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia membawa cabaran kepada sektor pelancongan penjagaan kesihatan berikutan banyak negara termasuk Malaysia, menutup sempadan antarabangsa masing-masing bagi mengekang penyebaran virus itu.

Selepas hampir dua tahun mengharungi pandemik Covid-19, negara kini sedang beralih ke fasa kehidupan dalam persekitaran endemik, bermakna amat penting untuk segmen pelancongan perubatan meneliti langkah-langkah penambahbaikan berdasarkan pengalaman sepanjang tempoh itu, bagi menawarkan pengalaman yang selamat dan lebih baik kepada pelawat perubatan.

Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) sedang mengusahakan pelan pemulihan industri bagi mengetengahkan keseluruhan potensi segmen penjagaan kesihatan dan hospitaliti Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Daud Mohd Arif berkata, organisasi itu sedang “beralih ke lingkungan digital menerusi perbincangan dinamik dengan pihak berkepentingan", bagi memastikan kehadiran segmen pelancongan perubatan negara merentasi pasaran sasaran.

“Misi semasa kami ialah menghidupkan semula sektor dengan memanfaatkan keyakinan dan kepercayaan sedia ada di Malaysia selaku destinasi pelancongan perubatan yang selamat dan boleh dipercayai. Dengan membina kepercayaan dalam kalangan pelancong perubatan menerusi komunikasi berkesan secara berterusan, serta dedikasi dalam menyediakan pengalaman selamat, kami yakin akan dapat menyaksikan sikap lebih positif terhadap pelancongan perubatan apabila sekatan pergerakan ditarik balik.

“Kami kekal optimis bahawa industri penjagaan kesihatan Malaysia akan kembali pulih bersandarkan reputasi yang kami bina sejak lebih 10 tahun lepas, perkhidmatan bertaraf dunia kami serta rawatan perubatan yang mudah diakses dan mampu milik,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Destinasi selamat dan dipercayai

Malaysia telah membina reputasi kukuh sebagai destinasi global yang selamat dan dipercayai bagi penjagaan kesihatan sejak lebih 10 tahun lepas, dengan pelawat datang bagi mendapatkan pelbagai rawatan termasuk persenyawaan in-vitro (IVF), kardiologi, onkologi, ortopedik, neurologi, pergigian, estetika dan saringan kesihatan umum.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, MHTC menyasarkan untuk menghidupkan semula sektor dengan membina keyakinan, khususnya dalam pasaran sasaran seperti Indonesia, China, Kemboja, Singapura dan Brunei.

Malaysia menerima pelbagai anugerah peringkat global sebagai destinasi penjagaan kesihatan selama ini dan diiktiraf sebagai ‘Destination of the Year’ dari 2015 hingga 2017 dan pada 2020 oleh International Medical Travel Journal, United Kingdom; ‘Best Country in the World for Healthcare’ dari 2015 hingga 2020 oleh International Living yang berpusat di Amerika Syarikat; selain sentiasa diiktiraf sebagai ‘Top Country for Muslim Travel’ dalam Indeks Pelancongan Muslim Global oleh MasterCard-Crescent Rating sejak 2011.

Mohd Daud berkata, sebahagian besar pertumbuhan dan kemajuan industri itu disumbangkan oleh reputasi Malaysia sebagai penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia yang mudah diakses dan pada kos yang kompetitif.

“Ini juga ditonjolkan melalui kedudukan strategik kita sebagai negara mesra Muslim, kemesraan kita dan tarikan pelancongan yang terkenal,” katanya, menambah antara pesaing Malaysia dalam industri pelancongan perubatan ialah Singapura, Thailand, Dubai (Emiriah Arab Bersatu) dan Korea Selatan.

Beliau berkata, MHTC juga bekerjasama rapat dengan hospital yang menjadi ahli bagi mengenal pasti pasaran lain yang boleh ditumpukan seperti Timur Tengah, yang menekankan lagi kepentingan perkongsian awam-swasta dalam melonjakkan sektor sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi pasca-Covid-19.

Menurutnya, amat penting bagi MHTC untuk terus membina keyakinan dan kepercayaan sedia ada melalui potensi dan perkhidmatan digital bagi memastikan usaha yang berterusan untuk mengekalkan kesedaran dalam kalangan pelancong kesihatan.

Inisiatif gelembung perjalanan

Mengulas mengenai inisiatif gelembung perjalanan, Mohd Daud berkata langkah itu bukan sahaja akan memberi manfaat kepada industri pelancongan perubatan tetapi turut menyumbang kepada pertumbuhan negara sebagai sebahagian pemulihan ekonominya.

(Gelembung perjalanan merupakan kerjasama di antara dua atau lebih negara yang membolehkan perjalanan bebas kuarantin bagi kedua-dua hala)

Bagaimanapun katanya, pada masa ini, keutamaan negara ialah memastikan ia mencapai sasaran imunisasi Covid-19 yang ditetapkan.

Berkenaan promosi pelancongan perubatan, Mohd Daub berkata, usaha itu sudahpun dilaksanakan di Malaysia dengan pesakit mendapatkan rawatan di hospital pilihan mereka atau dengan pakar perubatan yang mereka mahukan.

“Apabila sekatan merentas negeri dilonggarkan, kami yakin pesakit tempatan akan mendapatkan rawatan di fasiliti pilihan mereka.

“Kami juga mempromosikan dan menggalakkan ekspatriat yang menetap di Malaysia agar memanfaatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang ditawarkan oleh fasiliti perubatan swasta kita,” katanya, menambah MHTC ditubuhkan khususnya untuk memudahkan pelawat perubatan asing mendapatkan rawatan di hospital swasta di negara ini.

Mohd Daud juga berkata, pihaknya menjangkakan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan membuat penyesuaian yang sewajarnya apabila Malaysia mencapai kenormalan pascapandemik.

“Fasiliti penjagaan kesihatan akan memastikan ia mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan infrastruktur bagi menyokong dan memberikan pengalaman yang lebih selamat dan dipertingkat kepada pesakit, dipacu oleh penyampaian perkhidmatan yang cemerlang.

“Tawaran pelancongan juga harus disesuaikan dengan kehendak pengguna yang sentiasa berubah, akibat daripada penularan pandemik. Aspek keselamatan orang ramai merupakan keutamaan kami dan kami percaya pihak berkuasa akan mengguna pakai mekanisme yang tepat bagi memastikan protokol yang betul tersedia bersama-sama pembukaan semula sempadan,” katanya.

Negara senarai hijau

Sementara itu, pensyarah kanan di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi MARA Melaka Akmal Adanan berkata, inisiatif gelembung pelancongan dan kebenaran merentas negeri harus dimanfaatkan dengan pelaksanaan gelembung pelancongan kesihatan untuk negara-negara senarai hijau dan mereka yang telah lengkap divaksinasi.

(Negara-negara senarai hijau merujuk kepada negara dan wilayah yang selamat untuk dilawati tanpa perlu menjalani kuarantin apabila pulang ke tanah air)

Beliau berkata, gelembung pelancongan kesihatan memberi kelebihan kepada pesakit dan penyedia perkhidmatan kerana kehadiran pelawat bagi tujuan itu akan berlaku dalam persekitaran yang dikawal.

“Hospital dan penyedia perkhidmatan pelancongan perlu mempunyai strategi seperti bekerjasama dengan agensi pelancongan untuk memperkenalkan pakej yang inklusif, menarik dan mampu milik kepada segmen pasaran yang lebih besar.

“Pakej pelancongan perubatan yang komprehensif boleh merangkumi saringan kesihatan, kemudahan penginapan, pengangkutan dan aktiviti-aktiviti rekreasi. Semua ini adalah tentang penyediaan pakej yang dapat memastikan pengalaman perjalanan yang lancar bagi pesakit, bermula ketika mereka meninggalkan negara mereka,” katanya.

Akmal berkata, bagi membolehkan Malaysia muncul sebagai destinasi pelancongan kesihatan pascapandemik yang kompetitif, ia harus memberi tumpuan pada pengurusan risiko dan langkah-langkah keselamatan yang melibatkan agensi pelancongan, hotel, fasilitator kesihatan, pemandu pelancong serta penyedia pengangkutan dan logistik,” katanya.

Katanya, hospital juga boleh memperkenalkan model perkhidmatan hibrid dalam proses rawatan bagi pesakit antarabangsa, termasuk membenarkan tempahan melalui dalam talian serta mengadakan perkhidmatan telerundingan, webinar dan perkhidmatan penghantaran ubat-ubatan.

“Inisiatif sebegini akan memberi nilai tambah kepada industri pelancongan perubatan kita, selain memudahkan lagi pesakit, mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, serta memastikan perkhidmatan dan rawatan ditawarkan pada tahap optimum,” katanya.

Impak ekonomi industri pelancongan

Industri pelancongan penjagaan kesihatan Malaysia yang banyak bergantung pada perkongsian awam-swasta, memperoleh RM1.7 bilion dalam bentuk kos hospital pada 2019, dengan kesan limpahan dalam industri lain menyumbang kira-kira RM7 bilion kepada ekonomi. Jumlah ini merangkumi perjalanan udara, kemudahan penginapan, makanan dan minuman, aktiviti santai serta lain-lain.

Industri ini juga menghasilkan lebih 15,000 pekerjaan dan menarik pelaburan berjumlah RM10 bilion sejak 2012.

Sebelum ketibaan pandemik Covid-19, industri penjagaan kesihatan Malaysia menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara.

Jumlah pelawat kesihatan yang tiba di Malaysia bagi tempoh 2012 hingga 2019 meningkat kira-kira 90 peratus dan pada 2019, industri itu merekodkan pendapatan berjumlah RM1.7 bilion.

Industri penjagaan kesihatan bertumbuh pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 17 peratus bagi tempoh 2015 dan 2019 berbanding prestasi rantau Asia Pasifik yang merekodkan CAGR 12 hingga 14 peratus bagi tempoh sama, menunjukkan potensi pelancongan kesihatan di rantau ini. - Bernama