Rakyat mahu harga kit ujian Covid-19 lebih rendah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MERAK Jalanan ada mendengar Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mencadangkan supaya kit ujian kendiri Covid-19 dijual pada harga RM10 atau RM5 sahaja.

Memang Merak Jalanan sokong sangat kalau kerajaan boleh pertimbangkan cadangan bekas Menteri Kesihatan itu.

Apatah lagi Covid-19 kini sudah jadi endemik selepas kerajaan mengumumkan jumlah individu dewasa di negara ini yang sudah menerima dua dos vaksin dah capai 90 peratus.

Lagipun, kerajaan juga sudah umumkan rentas negeri dibenarkan untuk rakyat Malaysia.

Merak Jalanan yakin, kit ujian akan menjadi perkara penting dalam kehidupan kita termasuk pemakaian pelitup muka.

Sekarang sudah jadi kewajipan untuk rakyat keluarkan duit poket untuk beli pelitup muka dan sudah tentu ia menambah tekanan kewangan terutama melibatkan keluarga yang besar.

Kalau ditambah dengan kos pembelian kit ujian memang satu keluarga perlu belanja hampir RM100 sebulan untuk tujuan penjagaan dan keselamatan diri serta keluarga.

Minggu lalu, Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengatakan bahawa harga baharu kit ujian itu akan diumumkan selepas perbincangan dengan pemain industri dan Kementerian kesihatan (KKM).

Artikel Berkaitan:

Pada ketika ini, harga borong dan runcit bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 diletakkan di bawah kawalan berkuat kuasa Ahad ini menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kit berkenaan akan dijual pada harga RM16 (borong) dan RM19.90 (runcit) bagi satu set.

Sehubungan itu, Merak Jalanan merasakan kit ujian perlu dijadikan sebagai satu kemestian terutama untuk melancong, merentas negeri atau melakukan aktiviti sosial yang melibatkan banyak pihak.