X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Eddy bersyukur dapat kembali kepada ajaran Islam

Eddy (berbaju hitam) menceritakan kisah hidupnya kepada jawatankuasa Masjid Kariah Arraudah Taman Rasa Sayang, Seremban pada Isnin.
A
A

SEREMBAN - Menjadi hari paling bermakna buat seorang pemuda apabila kembali kepada ajaran Islam selepas lebih 10 tahun tersasar daripada agamanya itu.

Pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Eddy, 27, berkata, sejak berusia 12 tahun, hidupnya jauh tersasar daripada agama asalnya itu selepas ibu bapanya meninggal dunia.

Menurutnya, ayahnya merupakan seorang berbangsa Cina beragama Buddha, manakala ibunya berasal dari Thailand beragama Kristian, sebelum kedua-duanya memeluk agama Islam.

"Ketika itu kami tinggal di Kelantan dan saya merupakan anak tunggal.

"Ketika saya berumur enam tahun, ayah meninggal dunia kerana dihempap pokok dan ibu pula meninggal dunia ketika saya berusia 12 tahun menyebabkan saya hilang punca kerana tiada ahli keluarga lain," katanya.

Tidak tahu ke mana tempat mahu dituju, Eddy berkata, dia kemudian membawa diri ke Kuala Lumpur dengan menyorok di ruang simpanan beg sebuah bas ekspres.

Katanya, setibanya di Kuala Lumpur, dia hidup mengemis di Hentian Putra selama seminggu sebelum dipelawa oleh pasangan suami isteri berbangsa Cina untuk tinggal bersama.

"Kalau mereka tak ajak saya tinggal bersama, saya tak tahu apa yang akan jadi pada saya sekarang.

"Cumanya hidup saya tersasar kerana saya tidak diajarkan cara hidup seorang Islam. Saya makan babi, minum arak dan berjudi. Hidup saya sama seperti keluarga angkat," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Eddy (kanan) menceritakan kisah hidupnya kepada Zulkifli (tengah) dan jawatankuasa Masjid Kariah Arraudah Taman Rasa Sayang, Seremban pada Isnin.
Eddy (kanan) menceritakan kisah hidupnya kepada Zulkifli (tengah) dan jawatankuasa Masjid Kariah Arraudah Taman Rasa Sayang, Seremban pada Isnin.

Eddy ditemui selepas berkongsi masalah dihadapinya dengan jawatankuasa Masjid Kariah Arraudah Taman Rasa Sayang di sini.

Turut serta ialah Ketua Pentadbir Masjid Kariah Arraudah Taman Rasa Sayang, Zulkifli Muhamed.

Sementara itu, Eddy berkata, dia tidak pernah menyalahkan ibu bapa angkatnya kerana mereka menjaganya dengan baik selama ini.

Malah, katanya, dia memahami keadaan keluarga angkatnya ketika itu yang tiada pengetahuan serta hidup susah.

"Waktu itu saya pun tidak berpeluang meneruskan persekolahan dan terpaksa bekerja mengambil upah mencuci pinggan dengan upah RM5 sehari.

"Hidup saya sangat susah waktu itu. Tapi setidaknya ada tempat saya menumpang kasih walaupun saya tercicir dalam agama Islam," ujarnya.

Eddy berkata, pada tahun lalu dia nekad berhijrah ke Seremban untuk mencari semula agama Islam yang telah lama ditinggalkan.

Bagaimanapun, katanya, jalannya bukanlah mudah kerana ada yang memandang sinis ketika dia meminta izin untuk masuk ke masjid.

Sehinggalah dia akhirnya datang ke Masjid Kariah Arraudah Taman Rasa Sayang dan bertemu dengan ahli jawatankuasa masjid terbabit.

"Saya bersyukur kerana akhirnya saya jumpa dengan orang yang betul. Pada Ahad lalu (3 Oktober), kali pertama sejak berusia 12 tahun, saya dibenarkan masuk ke masjid.

"Susah saya nak gambarkan perasaan waktu itu. Keluarga angkat tahu 'pencarian' saya dan mereka menyokong. Tolong doakan saya supaya jadi lebih baik," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!