Jangan silap langkah

Gandingan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menjadi senjata utama Malaysia dalam memburu mata pada kempen Piala Thomas kali ini.
Gandingan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menjadi senjata utama Malaysia dalam memburu mata pada kempen Piala Thomas kali ini.
A
A
A

BARISAN kejurulatihan skuad badminton Malaysia diminta memastikan pemilihan pemain dibuat dengan betul apabila berdepan Kanada dalam aksi pembukaan Kumpulan D Piala Thomas 2020 di Ceres Arena, Aarham, Denmark pada awal pagi Rabu.

Bekas jaguh perseorangan lelaki negara, Roslin Hashim berkata, pemilihan pemain yang tepat amat penting dalam memastikan Malaysia bermula dengan langkah kanan pada kempen Piala Thomas kali ini.

“Sebenarnya susunan pemain bagi kejohanan berpasukan seperti ini adalah mengikut ranking. Sebab itu jika sesebuah pasukan menurunkan barisan terkuat, kita dah tahu susunan pemainnya bermula perseorangan pertama, kedua, ketiga, beregu pertama dan beregu kedua.

“Biarpun atas kertas skuad negara dilihat tidak berdepan banyak masalah untuk melepasi cabaran Kanada nanti, namun pemilihan pemain yang akan diturunkan perlu dilakukan dengan betul.

“Jadi barisan kejurulatihan harus merangka strategi yang betul. Jangan disebabkan kita yakin mampu menewaskan Kanada, beberapa pemain utama direhatkan, silap percaturan kita yang tanggung,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Roslin turut berharap barisan pemain yang diturunkan tidak memandang mudah lawan masing-masing sehingga menjerat diri mereka sendiri di atas gelanggang nanti.

“Kita kena bersedia sepenuhnya untuk berdepan Kanada. Sesiapa juga yang diturunkan nanti kena fokus betul-betul kerana pada kebiasaannya, pertemuan pertama adalah pertemuan yang paling penting,” ujarnya.

Pada masa sama, Roslin berkata, selain pemilihan pemain dan percaturan taktikal jurulatih, persiapan dari segi mental serta fizikal juga penting bagi mengharungi kejohanan berpasukan seperti Piala Thomas dan Piala Uber.

Artikel Berkaitan:

“Secara keseluruhannya, kekuatan mental dan fizikal juga harus diberikan keutamaan. Tak guna kalau strategi susunan pemain dah betul tetapi pemain yang beraksi itu tidak bersedia 100 peratus.

“Saya cuma berharap barisan pemain negara khususnya pemain muda mengambil aura pada Piala Sudirman lalu sebagai azimat apabila mereka beraksi pada Piala Thomas kali ini,” ujarnya.